Usaha Bina Kefahaman, Penghayatan Ibadah Solah

291

KUALA TERENGGANU— Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj adalah satu platform penting, inisiatif membina kefahaman, kebersamaan serta memperkukuh penghayatan ibadah solat dalam kalangan umat Islam.

Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Zul Bhari A. Rahman berkata, program berkenaan bukan sekadar pengisian tahunan, bahkan agenda strategik membudayakan solat sebagai tiang seri kehidupan umat, membina masyarakat berdisiplin.

Katanya, peristiwa Israk dan Mikraj membuktikan keistimewaan ibadah solat apabila Nabi Muhammad SAW dijemput menghadap Allah SWT untuk menerima perintah solat secara langsung, menzahirkan kedudukannya yang sangat penting dalam Islam.

“Ibadah solat adalah satu ibadah yang mengajar umat tentang disiplin dalam kehidupan, disiplin dalam berjamaah, disiplin imam dan makmum, disiplin sebagai pemimpin, disiplin sebagai rakyat,” jelasnya.ketika dihubungi hari ini.

Tambah Zul Bhari, penghayatan Israk dan Mikraj perlu diperkasakan melalui penerangan berstrategi, latihan bermodul, pembinaan generasi solat serta menjadikan agenda solat sebagai teras dalam semua lapangan amal Islami.

Ustaz Zul Bhari A Rahman

Ustaz Zul Bhari turut menekankan keperluan menginstitusikan program pemerkasaan solat di peringkat jabatan dan komuniti bagi memastikan usaha ini bersifat berterusan dan berimpak tinggi.

“Penghayatan peristiwa Isra Mikraj dapat diperkasakankan dengan kita melaksanakan penerangan berstrategik dan latihan bermodul membina generasi solat , menjadikan agenda solat dalam semua lapangan amal islami dan menginstitusikan program perkasa solat di peringkat jabatan dan komuniti,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau berharap program tersebut mampu melahirkan generasi kamil yang menjadikan solat sebagai keutamaan hidup, seterusnya memartabatkan Islam sebagai cara hidup dalam membina jati diri serta istiqamah dalam beramal.