Urus Tadbir Tanpa Rasuah Pacu Prestasi Kerajaan Negeri

242

KUALA TERENGGANU – Urus tadbir yang bebas daripada rasuah merupakan asas penting kepada kecekapan pentadbiran dan kualiti pembangunan sesebuah negeri.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, sesebuah negara atau negeri yang tidak diganggu unsur rasuah mampu berfungsi dengan lebih baik kerana proses pengurusan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara profesional tanpa campur tangan kepentingan tidak sihat.

Menurutnya, apabila urus tadbir dicemari rasuah, kualiti pentadbiran akan terjejas kerana keputusan terpaksa dibuat berdasarkan sogokan dan bukan berdasarkan kepakaran serta profesionalisme yang sebenar.

“Kesannya sudah tentu akan memberi impak kepada kualiti, kerana pemilihan dibuat berdasarkan sogokan, bukan kualiti yang sebenar.

Justeru, urus tadbir yang baik, tanpa rasuah sudah pasti akan memberi kesan baik kepada qualiti dan sekaligus akan meningkatkan prestasi kerajaan dalam semua sektor terutama dalam pendapatan negeri,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa urus tadbir yang baik dan bebas rasuah bukan sahaja meningkatkan kualiti pentadbiran, malah mampu melonjakkan prestasi kerajaan dalam pelbagai sektor termasuk peningkatan hasil negeri.

“Apabila sesuatu urus tadbir itu diganggu dengan unsur rasuah, sudah pasti ketika itu ia akan merampas kualiti urus tadbir tersebut.

“Kerana terpaksa melanggar professionalism dan tatakelola baik bagi melayan gangguan rasuah tersebut dengan membuat pilihan atau keputusan berdasarkan sogokan bukan berdasarkan professionalism yang baik,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa negeri Terengganu boleh dijadikan contoh dalam mengamalkan pentadbiran berintegriti dan berprestasi tinggi.

Katanya, kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar sejak awal pentadbiran telah melancarkan Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) yang berteraskan nilai ketakwaan, keimanan, ketelusan, keikhlasan, kebertanggungjawaban, kecekapan serta usaha islah berterusan yang dikenali sebagai 6K-i.

Tambah beliau, keberkesanan dasar tersebut dapat dilihat melalui laporan audit tahunan kerajaan negeri yang menunjukkan prestasi baik tanpa teguran, selain peningkatan ketara hasil negeri.

“Indikator lain yang amat besar ialah prestasi kerajaan yang amat cemerlang dalam menambah hasil negeri dengan peningkatan yang amat baik, bermula dengan angka dalam 200 juta di awal pentadbirannya meningkat kepada 450 juta pada tahun 2025,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa rasuah merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan ditegah keras oleh agama.

Beliau turut mengingatkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud bahawa pemberi dan penerima rasuah akan menerima balasan buruk di akhirat.

Justeru, beliau menyeru semua anggota pentadbiran negeri agar terus mengekalkan budaya integriti serta tatakelola yang baik demi memastikan negeri Terengganu terus maju, diberkati dan sejahtera.