HULU TERENGGANU – UMNO yang dibantu Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) cuba menghalang PAS Terengganu untuk menambah kerusi pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU14) akan datang dengan melaksanakan persempadan semula.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Malaysia Dato Mustafa Ali berkata, perubahan itu hanya mengubah kawasan mengundi yang dimenangi PAS tetapi tiada penambahan kerusi baharu.
“sebagai mana berlaku kepada DUN Teluk Pasu, UPU Teluk Pasu sendiri dimasukkan ke dalam DUN Manir yang mengakibatkan YB Ustaz Riduan Hashim berubah tempat mengundi ke Buluh Gading kerana sekarang mendapat nama baru DUN Buluh Gading,”ujarnya.
Beliau berkata, banyak lagi DUN-DUN lain yang terlibat dan beliau menegaskan ia adalah cara Umno menghalang PAS menambah kerusi dan memenangi negeri Terengganu.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya PAS Kawasan Hulu Terengganu, di Markaz Tarbiyyah Kubang Lembek, Manir, pada Jumaat, 11hb. November.
Oleh kerana itu, beliau menjangka, proses pensempadanan semula hanya akan selesai dijangka paling awal, sekitar Jun tahun hadapan.
Justeru, walaupun bantahan telah dilakukan, beliau tidak mengharap, ianya akan membuahkan sebarang hasil yang boleh mengubah keadaan tersebut.
”Apa-apa pun sudah pasti keputusannya akan memihak kepada UMNO BN, selaku kerajaan sekarang dan,
“SPR sebagaimana kita sedia maklum tidak akan mudah menerima bantahan dari pihak pembangkang.”jelasnya.
Sebelum itu, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri, YB. Dr. Alias Abd. Razak berharap seluruh jentera dapat menterjemahkan KPI (Key Perfomance Indicator) dengan berkesan, untuk merelisasikan kemenangan.
“iaitu mengubah strategi bekerja yang memerlukan ‘format’ baru dan berlainan dari yang sebelumnya,”kata beliau.
Justeru katanya, sasaran sebanyak 80% pengundi baru, sebagaimana yang ditetapkan, pasti akan membuahkan hasil.
Beliau mahu setiap petugas PAS istiqamah dan tekun dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Strategi untuk menawan hati pengundi juga sukar, namun kerja mesti diteruskan walaupun lambat umpama kura-kura tapi ‘istiqamah’,
“jangan seperti arnab yang cepat tapi penat dan tertidur akhirnya,”ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal.