Ugutan Menteri Pendidikan; Umno Tertekan Butang Panik!

1718

Ucapan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid bernada ugutan terhadap guru dan pegawai kementerian dengan mahu mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang menyokong pembangkang menunjukkan sikap tidak profesional beliau. Tindakan dan ucapan beliau memperlihatkan sikap terdesak, tertekan dan gelisah beliau dan UMNO dalam menghadapi pilihanraya umum ke 14.

Secara tidak langsung beliau menunjukkan indikasi bahawa UMNO-BN dalam keadaan gawat, dan ada kemungkinan tumbang dalam PRU ke 14 justeru beliau terpaksa menggunakan kuasa dan kedudukan beliau sebagai menteri untuk mengugut kakitangan di bawah kementeriannya.

Sebagai seorang menteri yang memegang portfolio kementerian pendidikan, beliau sepatutnya tahu membezakan antara parti politik dan urusan profesionalisme. Dalam konteks negara yang menjunjung sistem demokrasi, sesiapa sahaja boleh menyokong mana-mana parti politik bahkan mengganggotai dan menjadi pemimpin parti politik terbabit.

Tidak ada salahnya mana-mana kakitangan awam menyertai parti politik sama ada pemerintah ataupun pembangkang, selagi urusan kerjayanya dibereskan dengan sempurna. Yang salahnya jika mereka terbawa-bawa politik itu sampai ke bilik darjah, bilik guru dan mesyuarat di sekolah, atau tidak menjalankan kewajipan yang ditentukan, serta sibuk dengan hal parti politik sehingga tidak datang ke sekolah. Jika hal sedemikian berlaku, maka wajarlah guru dan kakitangan tersebut di ambil tindakan.

Mengkritik kerajaan bukan bermaksud mahu mensabotaj atau merosakkan imej kerajaan. Itu tanda kasih dan cinta rakyat terhadap kerajaan dan negaranya dengan memberikan teguran yang bermakna agar kerajaan dan pemimpin tertinggi melakukan perubahan, walaupun kritikan itu pedas. Kritikan yang baik bermakna ada pihak yang berani menyatakan kebenaran, walaupun ianya amat pahit didengari. Kritikan menjadikan seseorang, institusi, pemimpin dan negara semakin kuat. Dengan kritikan, kerajaan tahu salah betul tindakan mereka, dan mendengar suara serta keluhan rakyat di bawah.

Yang dibimbangi adalah tidak ada pihak yang mahu bersuara menyatakan kebenaran, walaupun yang dilihat, dirasai dan didengari adalah salah dengan naluri, hukum agama dan negara. Keadaan lebih parah jika semua pihak mengambil sikap mendiamkan diri, bahkan memuji dan membodek apa sahaja dasar kerajaan sehingga akhirnya langkah itu meyebabkan kerajaan dan negara rebah. Jangan kerana ugutan itu nanti melahirkan masyarakat terutama kakitangan kerajaan dan guru yang langsung tidak peka dan prihatin terhadap masyarakat, agama dan negara.

Jika ada kritikan dan kutukan yang keterlaluan, maka tindakan hanya perlu dilakukan kepada individu terbabit tanpa membabitkan dasar dan polisi kerajaan terhadap seluruh pegawai atau guru. Hanya dengan beberapa kerat individu yang lantang dalam bersuara, maka Datuk Seri Mahadzir terus menghukum semua guru dan kakitangan dengan ugutan amaran keras, apakah tindakan ini wajar? Bersikaplah dengan profesional dan jangan bermain emosi dan sentimen semata-mata. Selesaikan kes demi kes, bukan memukul rata seluruh negara hanya dengan satu dua kejadian yang berlaku.

Datuk Seri Mahadzir perlu ingat, UMNO hanya menjadi kerajaan ketika ini. Suatu waktu jika UMNO pula akan menjadi pembangkang, apakah beliau mahu berpegang dengan amaran dan ugutan beliau tidak membenarkan guru dan penjawat awam menyertai parti pembangkang? Jangan nanti beliau terpaksa menjilat balik segala apa yang diluahkan sekarang.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli jawatankuasa PAS Pusat