Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan lantang mempersoalkan polisi Amerika Syarikat yang menyokong Israel menyerang dan membunuh rakyat Gaza, dengan alasan, Israel mempertahankan dirinya.
Erdogan berkata, pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah pun memutuskan sebanyak 280 resolusi terhadap Israel tetapi mengapa AS tidak menguatkankuasakan perkara tersebut.
“Terdapat 280 resolusi PBB terhadap Israel. Ini adalah kerana tindakan keganasan itu. Mereka sentiasa membunuh orang dan menggunakan kekerasan yang tidak seimbang.
“Bagaimana kita boleh mengabaikan semua ini Bagaimana AS boleh mengabaikan semua ini?”tegasnya dalam temu bual dengan saluran TV Turki TGRT Haber pada hari Ahad.
Beliau dipercayai mengulas kenaytaan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang mengatakan komen Erdogan sebelum ini sebagai anti-Israel, yang “kesat dan salah” serta “provokatif.”
Erdogan membidas, sebanyak 500 tan bom telah digugurkan ke atas semenanjung Gaza, lebih 300 orang terbunuh akibat pengeboman itu, tetapi bagaimana Amerika Syarikat terus menyokong Israel.
“Amerika perlu mengkritik dirinya jika ia masih berkata ‘Israel menggunakan.. hak untuk mempertahankan dirinya. (sebenarnya) Mereka membuat kenyataan ‘menyakitkan hati’ (seluruh manusia).”jelasnya.
Erdogan menambah, Amerika Syarikat perlu membuat lebih daripada satu sumbangan kepada keamanan dunia sekarang daripada memprovokasi dan menunjukkan bahawa mereka berada di pihak Israel.










