Oleh : Syazwana M.Zohir
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Perikatan Nasional diharap dapat membela dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia, khususnya golongan muda.
Ketua Pengarah Ameerah Malaysia
Zuraida Md Noor yakin, PAS akan membawa impak dalam gabungan kerajaan baharu itu.
“Saya berharap dan berdoa agar dipermudahkan perjalanan PAS dalam kerajaan pusat, semoga kehadiran PAS mampu memberi impak yang besar. Mudah-mudahan kita mampu terus istiqomah membawa agenda Islam, sekaligus menjadi rujukan kepada parti-parti lain insya-Allah.
“Sebagai seorang anak muda, pastinya saya mengharapkan agar kerajaan yang baru dibentuk ini, dapat membela, menjaga dan menunaikan hasrat anak-anak muda terutamanya dalam sektor pekerjaan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan tidak ketinggalan dari sektor pendidikan mahupun ekonomi”, ujarnya.
Zuraida yang juga ADUN Wanita Terengganu berkata demikian ketika dihubungi semalam. kelmarin.
Oleh itu, beliau menzahirkan kesyukuran kerana ditakdirkan menjadi sebahagian daripada parti yang terlakar dalam detik bersejarah politik negara.
Zuraida berkata secara peribadinya, beliau amat bersyukur kerana berpeluang menyaksikan serta terlibat dalam peristiwa 1 Mac 2020 yang menyaksikan Parti Islam se-Malaysia (PAS) telah tergolong sebagai Kerajaan Persekutuan Malaysia.
“Sebenarnya jika kita singkap kembali sejarah, PAS bukan pertama kali menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan tetapi kali kedua. Kali pertama ialah pada tahun 1972 iaitu kira-kira 48 tahun yang lalu, dalam kerajaan campuran bersama-sama Parti Perikatan.
“Selaku suara tertinggi Muslimat Muda PAS ataupun lebih dikenali dengan nama Ameerah, saya menyaksikan satu gabung jalin yang baik antara PAS dan parti-parti lain dalam persefahaman politik, Perikatan Nasional ini”, tambahnya.




























