KUALA TERENGGANU – Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu adalah langkah strategik memperkukuh keterjaminan makanan negeri serta merangsang ekonomi setempat.
Pengarah Majlis Tindakan DUN Kemasik, YB. Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, bagi tujuan tersebut, cadangan lokasi telah dikemukakan kepada Pejabat Pertanian Daerah Kemaman, lengkap dengan pengesahan guna tanah oleh Pejabat Tanah Kemaman.
Menurutnya, kawasan terbabit berpotensi besar untuk dimajukan sebagai pusat pengeluaran makanan berskala besar yang mampu memberi impak berganda kepada negeri.
“Usaha ini diharap bukan sekadar dapat mengukuhkan rantaian bekalan makanan yang disasarkan negeri, tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan, membangunkan lebih ramai usahawan tani serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Kemasik berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Oleh itu, beliau turut berharap agar projek ini mendapat sokongan dan tindakan segera daripada pihak berkaitan agar potensi kawasan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan rakyat dan negeri.
Selain itu, tambah beliau, sektor hiliran pertanian perlu diberi perhatian serius bagi menjamin kelestarian industri pertanian negara.
“Petani digesa untuk lebih kreatif dalam menghasilkan produk hiliran bagi mengurangkan pembaziran hasil tuaian dan meningkatkan nilai tambah kepada sumber pertanian sedia ada.
“Langkah ini bukan sahaja mampu menjana pendapatan tambahan, malah berpotensi mewujudkan peluang baharu dalam pasaran domestik dan antarabangsa. Inovasi dalam pemprosesan, pembungkusan, serta penjenamaan produk turut dilihat sebagai kunci utama dalam mengembangkan potensi pertanian moden,” ujar beliau.
Justeru katanya, kerajaan perlu menyediakan bimbingan serta sokongan berterusan kepada para petani, termasuk dalam aspek pemasaran dan penjenamaan produk.
“Usaha ini diharap dapat melonjakkan kejayaan usahawan tani tempatan dan memperkukuh rantaian nilai pertanian negara.
“Dengan sokongan menyeluruh serta usaha gigih petani, sektor hiliran pertanian dilihat mampu menjadi pemangkin utama kepada ekonomi luar bandar dan jaminan bekalan makanan negara,” tambah beliau lagi.