Tindakan Hina al-Quran, Cabar Sensitiviti Umat Islam

277

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Setiu mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab dan melampau yang menghina dan memijak al-Quran, kitab suci umat Islam disifatkan sebagai satu penghinaan besar terhadap agama Islam dan mencabar sensitiviti umat Islam di negara ini.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Ustaz Abdul Hadi Mohamad berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja tidak bertamadun, malah melampaui batas kebebasan bersuara dan boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di Malaysia.

“Al-Quran merupakan wahyu Allah SWT yang menjadi panduan hidup umat Islam sepanjang zaman dan wajib dihormati oleh semua pihak.

“Sebarang bentuk penghinaan terhadapnya adalah tindakan yang melampau dan tidak boleh diterima sama sekali,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Hijr ayat 9 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Zikr (al-Quran) dan sesungguhnya Kami jugalah yang memeliharanya.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Setiu mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang sedia ada tanpa sebarang kompromi.

Tindakan tersebut, katanya, penting bagi memastikan perkara sama tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Dalam masa sama, beliau menyeru umat Islam agar kekal bertenang, tidak terprovokasi dan tidak mengambil tindakan di luar kerangka undang-undang.

“Serahkan sepenuhnya urusan ini kepada pihak berautoriti demi menjaga keamanan serta kestabilan negara,” ujarnya.

Justeru itu, beliau turut menggesa pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pendidikan memainkan peranan aktif dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan hormat-menghormati antara agama dan menolak sebarang bentuk ekstremisme serta provokasi.

Beliau berharap agar keharmonian dan keamanan negara terus terpelihara dan semua pihak menghormati batas undang-undang serta sensitiviti antara agama demi kestabilan Malaysia.

Sementara itu, PAS Kawasan Setiu merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Ali Khamenei yang dilaporkan media negara itu sebagai mencapai martabat syahid pada bulan Ramadan.

Beliau menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Iran, malah kepada umat Islam di seluruh dunia.

Menurutnya Allahyarham merupakan simbol kepimpinan yang tegas dalam mempertahankan prinsip agama dan kedaulatan negaranya.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas beliau, menerima segala amal kebajikan dan menempatkannya dalam kalangan para syuhada,” tambah beliau.

Beliau turut mendoakan agar keluarga, pimpinan dan seluruh rakyat Iran diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian tersebut.

Dalam masa sama, mereka menyatakan sokongan moral terhadap usaha mempertahankan maruah dan keamanan negara itu.

Perkembangan ini dijangka memberi kesan besar terhadap landskap politik Iran dan situasi geopolitik di rantau Asia Barat, dengan perhatian dunia.