Tidak Duga Banyak Buat Latihan Dapat Keseluruhan Cemerlang

547

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh tidak menduga dengan banyak membuat latihan menjadikan beliau seorang mendapat keseluruhan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Umi Najwa binti Wahid merupakan anak ke lima dari enam adik beradik mendapat keputusan 11 A berkata, selepas peperiksaan percubaan, beliau sentiasa membuat ulangkaji pelajaran dengan cara belajar ‘pattern’ soalan dan menjawabnya.

“Saya gunakan duit biasiswa saya untuk beli buku latihan. Saya beli banyak sebab saya suka buat latihan dan bila kita dah faham kita makin seronok nak buat itu lagi-lagi Matematik Tambahan (Add Mathematic) hampir setiap hari la saya buat.

“Saya ada juga join class online (kelas atas talian) sebab saya tak nak masa saya ni terbuang semenjak sekolah tutup kan musim tu (Covid-19),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi, pada semalam.

Tambahnya, Umi Najwa dapat tawaran sambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) (Kampus Sultan Abdul Halim) manakala Nusshi di IPG Batu Rakit.

Menurutnya, anak kepada pasangan Wahid bin Mohd Nor yang bekerja sebagai juruteknik elektrik dan Rosilawati binti Jusoh pula suri rumah tinggal di Jerteh tidak menyangka beliau akan mendapat straight A dalam peperiksaan tersebut.

“Saya tiada rahsia pun sebenarnya. Sebab kebanyakannya saya search google tentang pelajar cemerlang ni. Jadi saya banyak ambil tips daripada pelajar cemerlang yang lain.

“Selain itu, jaga hubungan dengan Allah . Apa yang saya buat saya sentiasa solat sunat taubat selepas maghrib dan baca surah Al-Waqiah . Dengan cara tu mungkin saya mudah untuk belajar dan cepat faham dalam belajar.

“Lepastu, hubungan ibubapa dan guru kena jaga elok-elok untuk dapat keberkatan dlm hidup,” ujar Najwa.

Justeru itu, beliau berpesan kepada semua pelajar SPM 2021 supaya belajar bersungguh-sungguh.

“Kalau penat,rehatlah sekejap. Kesihatan kita pun harus jaga. Belum terlambat lagi kalau kita mulakan dari sekarang. Belum terlambat lagi kalau nak ulangkaji Bab Tingkatan empat punya.

“Jangan study hard tapi study smart. Bangkit balik selepas jatuh. Jangan jatuh selama-lamanya. U can do it batch 04!,” jelas beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Dato Speaker kerana telah memberi penghargaan kepada beliau di atas kecemerlangan SPM 2020.

“Saya mendoakan agar Dato bersama keluarga dimurahkan rezeki oleh Allah, diberi kesihatan yang berpanjangan.

“Harapan saya semua pelajar agar sentiasa belajar bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa walaupun di musim pandemik ini serta saya yakin kalian mampu melakukan yang lebih baik daripada dan mampu mendapat yang lebih baik daripada saya.

“Ikutlah jadual waktu pdpr dan janganlah ponteng. Apabila tidak faham bertanya lah kepada guru ataupun rakan-rakan yang dapat membantu kalian,” kata Najwa.

Tambah Najwa, beliau bercita-cita untuk sambung pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) nanti kerana ingin menjadi guru Matematik Sekolah rendah.

“Saya ingin mendidik semua murid supaya mereka semua pandai matematik kerana saya lihat pada masa ini ramai yang tidak pandai dalam mata pelajaran tersebut,” tambah Najwa lagi.