Terengganu Mahu Jadi Contoh, Tawarkan Calon Perdana Menteri

6

KOTA BHARU – Terengganu mahu menjadi contoh pentadbiran terbaik kepada seluruh negara dan menawarkan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16)

Wakil PAS Negeri Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, kemenangan ‘sapu bersih’ kerusi DUN PRU lalu, diterjemah prestasi pentadbiran cemerlang diiktiraf menguruskan kewangam dalam oleh Instititu For Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

Menurutnya, kemenangan besar tidak membawa erti sekiranya pentadbiran Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama barisan EXCO gagal menunjukkan hasil yang boleh dirasai.

“Kalau setakat menang 32-0, kemudian pentadbiran kita tidak menunjukkan prestasi, apa maknanya kemenangan itu?

“Negeri pangkalan mesti menjadi negeri contoh, begitu juga dari sudut ekonomi dalam keadaan terbatas pada tahun 2025 Terengganu telah mencatat pelaburan yang tertinggi sebanyak RM7. 85 bilion,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’ pada Muktamar PAS ke-72 di PUTIK, semalam.

Beliau menambah, pencapaian negeri-negeri yang ditadbir PAS perlu membuktikan parti itu mempunyai kemampuan untuk mentadbir negara sekiranya diberikan amanah lebih besar pada PRU-16.

Katanya, persoalan utama yang perlu dijawab PAS bukan lagi sekadar sama ada parti itu mampu menang, sebaliknya apa yang mampu dilakukan selepas memperoleh kuasa.

“Apabila orang bertanya, ‘Kalau PAS perintah Malaysia, apa PAS boleh buat?’, kita mesti mempunyai jawapan.

“Tunjukkan pengurusan negeri, hasil, pelaburan, bagaimana hutang dikurangkan, kebajikan, pendidikan dan kemampuan mengurus dengan amanah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Terengganu tidak mendakwa pentadbirannya sudah sempurna, sebaliknya mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

Menurutnya, kritikan rakyat perlu didengar dan masalah yang masih belum selesai perlu ditangani secara terbuka.

“Kerajaan yang baik bukan kerajaan yang mendakwa negerinya tidak ada masalah. Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang tidak menutup mata apabila rakyat mempunyai masalah.

“Kalau ada kelemahan, jangan sembunyikan. Perbaiki. Kalau rakyat mengkritik, dengar. Kalau ada yang belum selesai, selesaikan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kemenangan politik yang diperoleh PAS dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.

“Kemenangan yang tidak diurus dengan baik boleh hilang. Tetapi kemenangan yang menghasilkan kebaikan akan melahirkan keyakinan yang jauh lebih kuat,” tambah beliau

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa Terengganu bersedia menjadi tuan rumah bagi mengadakan Muktamar Tahunan Kali Ke-73.

“Saya mewakili Badan Perhubungan Negeri Terengganu (BPNT) diminta agar mengiklankan perkara ini, bahawa kita telah bersedia semua yang hadir untuk bermuktamar di Terengganu pada tahun hadapan,”ujar beliau.