Terengganu Cemerlang Sebagai Model Perpaduan Kaum Negara

96

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu terus membuktikan keupayaannya sebagai model perpaduan di Malaysia apabila tiada laporan mengenai pergeseran kaum direkodkan di negeri ini.

Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, YB Maliaman Kassim berkata, pendekatan menyeluruh yang diamalkan kerajaan PAS berjaya mengekalkan keharmonian antara kaum dan memberi inspirasi kepada negeri-negeri lain di seluruh negara.

“Untuk mengukur kejayaan ini, kita tidak mempunyai kayu ukur yang khusus. Namun, matlamat utama aktiviti perpaduan adalah untuk mewujudkan jalinan mesra antara pelbagai kaum di Terengganu.

“Ketiadaan isu pergeseran dan ketegangan kaum di negeri ini menjadi bukti bahawa program-program perpaduan yang dilaksanakan telah mencapai matlamat dan sasarannya.

“Bahkan, isu-isu ketegangan kaum yang berlaku di luar Terengganu tidak wujud di sini, dan ini menunjukkan bahawa Terengganu boleh dijadikan model perpaduan,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Ajil berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam.

Justeru itu, beliau menyifatkan perpaduan di negeri ini sebagai bersifat merentas dan tidak terhad kepada isu atau masa tertentu.

“Segala aktiviti berkaitan kebajikan dilaksanakan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada musim perayaan seperti Deepavali atau Tahun Baru Cina sahaja,” tambah Maliaman lagi.

Sementara itu, Terengganu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri contoh dalam perpaduan kaum menerusi pendekatan inklusif yang merangkumi semua aspek kehidupan masyarakat.

“Apabila kita turun padang ke daerah-daerah untuk menyantuni golongan yang memerlukan, saya turut melibatkan pelbagai kaum yang berbeza.

“Walaupun sasaran utama ziarah ini adalah golongan susah yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu, kehadiran masyarakat Cina, India, dan juga Orang Kurang Upaya (OKU) dalam majlis ini mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi.

“Konsep kebajikan kita adalah bersifat merentas, tidak semestinya hanya pada program semasa perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali sahaja,” tambah beliau.