DUNGUN – Kerajaan PAS Terengganu mengambil langkah proaktif dengan tidak membenarkan penganjuran sebuah konsert hiburan yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini, sebagai inisiatif menghormati ketibaan bulan Ramadan serta memelihara sensitiviti masyarakat setempat.
Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Mohd Fadhli Rahmi
-
berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan prinsip pentadbiran yang mengambil kira pandangan umum dan tuntutan agama.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa aktiviti ekonomi seperti program jualan tetap dibenarkan beroperasi seperti biasa demi menjaga kepentingan para peniaga.
“Pihak kami merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas tindakan segera dan berprinsip ini.
“Pada masa yang sama, kebenaran untuk meneruskan aktiviti perniagaan membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kelangsungan ekonomi rakyat tidak terjejas, asalkan ia selari dengan adab menjelang bulan mulia,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.
Beliau turut memuji tindakan profesional Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaku pelaksana dasar yang telah menguatkuasakan keputusan ini berlandaskan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Susulan itu, pihak penganjur acara di negeri ini diingatkan supaya meneliti dan mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu serta undang-undang kecil PBT.
Langkah ini penting bagi memastikan sebarang program yang dianjurkan pada masa hadapan tidak menimbulkan kekeliruan, pelanggaran prosedur, atau menyentuh sensitiviti umat Islam.
Mengulas lanjut, Mohd Fadhli turut menghargai peranan golongan asatizah dan masyarakat awam yang berani tampil memberikan teguran secara beradab.
Menurut beliau, budaya nasihat-menasihati dan semak imbang adalah asas kepada pentadbiran yang telus serta bertanggungjawab.
“Pendekatan tegas tetapi berhemah, disertai pematuhan undang-undang yang ketat, diyakini akan terus memperkukuh keharmonian masyarakat serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri,” jelasnya.





























