Tentera Rejim Israel Musnahkan Masjid

884

Sebuah masjid adalah antara beberapa struktur Palestin yang dimusnahkan oleh tentera rejim Israel di kampung Khirbet al-Tawil, Tebing Barat, yang didakwa pemerintah Zionis itu, telah dibina tanpa permit.

Perobohan dilakukan pada hari Selasa, sehari selepas Mahkamah Agung rejim Israel memberikan tempoh 90 hari kepada pemerintah rejim mencadangkan “cara-cara untuk memudahkan penyertaan rakyat Palestin tempatan dalam proses perancangan” di Kawasan C, yang merupakan 60 peratus daripada Tebing Barat di bawah kawalan penuh Israel.

“Askar-askar datang dan memusnahkan sebuah masjid dan tiga rumah mereka berkata telah dibina tanpa permit di Kawasan C,” kata Ayman Bani Fadel, Datuk Bandar Khirbet al-Tawil, berhampiran Nablus.

Pentadbiran Awam, badan tentera yang mentadbir Kawasan C, mengesahkan “perobohan lapan bangunan yang dibina secara haram di dalam zon tembakan”.

Satu kenyataan menyatakan bangunan-bangunan itu telah musnah selepas penduduk membuat rayuan di Mahkamah Agung Keadilan dan rayuan mereka telah ditolak.

Tentera rejim Israel mengawal pembinaan Palestin di Kawasan C dan berhampiran Baitulmuqaddis Timur.

Kumpulan hak asasi manusia menegaskan rejim tidak mengeluarkan permit yang mencukupi, memaksa penduduk untuk membina tanpa kebenaran.

menurut data yang disediakan oleh agensi kemanusiaan UN OCHA, menjelang pertengahan bulan April Israel telah merobohkan 213 struktur yang menyebabkan 426 orang menjadi pelarian di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat sejak awal tahun 2014.