Ikuti temubual tersebut seperti berikut;
Soalan (S): Tema Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-58 “Negara Berkebajikan Teras Perpaduan”. Kenapa PAS memilih tema tersebut?
Jawapan (J): “Negara Berkebajikan Teras Perpaduan”, tema yang dipilih bagi muktamar kita (PAS) kali ini. Sebenarnya, Negara Berkebajikan adalah konsep daripada Islam yang menyeluruh dan terkandung dalam ayat-ayat al-Quran yang banyak…antaranya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud;
“Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebajikan, yang menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah yang mendapat kejayaan. Yakni, di dunia dan di akhirat”.
Dan firman Allah Ta’ala lagi yang bermaksud; “Maka, sesiapa yang mengerjakan kebajikan sebesar zarah yang halus. Nescaya mereka melihat pada hari kiamat kelak dan sesiapa yang melakukan kejahatan walau pun sebesar zarah yang halus juga akan melihat pada hari kiamat kelak”.
Perkataan kebajikan mengikut bahasa al-Quran lain dari perkataan ‘welfare’ atau ‘welfare state’ mengikut istilah barat. Ini kerana, kebajikan mengikut kita memberi makna Islam yang menyeluruh. Di antaranya ialah konsep menegakkan negara yang adil untuk seluruh manusia dan untuk seluruh alam. Selaras dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW yang membawa ‘Rahmat’ untuk sekalian alam. Di mana adil yang membawa rahmat kepada alam ini adalah teras kepada perpaduan masyarakat majmuk. Manusia tidak boleh disatukan sebagaimana yang difahami oleh teori barat berdasarkan kepada keturunan, bangsa, warna kulit, sempadan negeri dan kepentingan ekonomi.
Kita melihat berlaku perpecahan masyarakat dalam satu bangsa, dalam masyarakat satu agama. Ini (perpecahan) berlaku di India, berlaku di England, di United Kingdom. Satu agama berbeza mazhab, berlaku dalam satu wilayah dalam dunia ini. Ini kerana, untuk menyatukan manusia bukan dengan aspek-aspek kebendaan. Manusia ada roh, ada akal dan ada perasaan, bukan sahaja ada jasad. Maka, konsep kebajikan yang ada dalam Islam merupakan adil dan rahmat kepada seluruh manusia adalah teras kepada menyatukan manusia yang pelbagai agama, bangsa dan budaya.
Di sinilah, kita (PAS) memilih tema Negara Berkebajikan Teras Perpaduan. Sebenarnya, teras ini lebih luas daripada asas. Ini kerana, asas di bawah sahaja tetapi teras dari bawah hingga ke atas. Perkataan teras juga memberi makna yang menyeluruh.
S: Memandangkan muktamar kali ini dianggap paling penting dan mungkin muktamar yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Jadi apakah saranan Dato’ Seri Tuan Guru kepada para perwakilan?
J: Tema muktamar membawa mesej untuk pilihan raya. Ini kerana, negara kita dilanda krisis nilai…bukan sahaja krisis ekonomi dan krisis politik. Krisis nilai sehingga manusia rakyat Malaysia ini tidak tahu baik dan buruk. Mereka (rakyat) boleh ditipu oleh media, boleh ditipu oleh rasuah wang, rasuah janji dan sebagainya. Mereka berdepan dengan kerajaan yang menyalahgunakan kuasa dan dengan sebab itu, kita (PAS) perlu menyelamatkan rakyat dengan konsep yang kita perjuangkan, yang terkandung dalam tema (muktamar) ini. Di mana, tema (muktamar) adalah mesej yang kita (PAS) pada kepada rakyat Malaysia. Yang terdiri dari pelbagai kaum, bangsa, budaya dan agama. PAS tidak mahu ahli-ahlinya fanatik. Fanatik adalah dilarang dan bercanggah dengan Islam. Kita diajar oleh Islam dengan al-Wasatiyyah. Al-Wasatiyyah dengan makna adil, sederhana, tidak melampau dan tidak lembab. Pendekatan untuk menyelamatkan manusia secara memberi kefahaman, kesedaran kepada mereka. Dengan sebab itu, mesej tema yang kita kemukakan itu adalah mesej yang baik untuk seluruh rakyat. Dan kita (PAS) telah berjaya mengadakan ‘tahaluf siasi’ dengan parti-parti pelbagai ideologi dan agama serta kaum. Itu suatu kejayaan, cuma bagaimana kita (PAS) hendak turunkan konsep itu kepada rakyat supaya memberi sokongan sehingga kita berjaya menubuhkan sebuah kerajaan. Yang kita mengharapkan PAS menjadi teras kepada kerajaan (Putrajaya) ini dan bukan sekadar menyertai sahaja tetapi PAS menjadi teras kerajaan.
Ini kerana, seluruh masyarakat majmuk di Malaysia menerima orang Melayu Islam adalah teras kepada politik negara. Merekalah (Melayu Islam) golongan majoriti, mereka adalah golongan teramai dan ini diiktiraf oleh semua kaum yang ada di Malaysia. PAS bukan sahaja mengiktiraf Melayu Islam perlu diperkasakan dengan Islam. PAS perlu ganti Umno dan dalam masa yang sama PAS mengiktiraf seluruh rakyat Malaysia (Cina, India dan lain-lain) adalah rakyat kita, warga di sini (Malaysia) dan bukan orang asing. Orang Cina, India, orang asal itu semua warganegara dan mereka bukan lagi rakyat China, rakyat India tetapi rakyat Malaysia dan penduduk di sini. Dan PAS perlu menjadi teras Melayu. Melayu perlu dikuasai oleh PAS dan PAS kena ganti Umno untuk memimpin negara.
S: Meski pun tidak ada pemilihan muktamar kali ini. Ianya dijangka turut hangat dengan isu-isu sensitif dan perbahasan. Komen Dato’ Seri Tuan Guru?
J: Berdasarkan kepada pengalaman kita (PAS) sejak lama bermuktamar. Hangat bagaimana sekali pun kita dapat menenangkan dengan suatu keputusan yang sangat baik. Walau pun diprovokasi oleh pihak luar untuk melaga-lagakan kita. Kita dapat mengakhiri muktamar dengan persaudaraan yang erat di antara satu sama lain dengan perpaduan yang kukuh. Jika sekiranya, di muktamar yang bertanding (pemilihan) bagi memilih kepimpinan. Kita meninggalkan muktamar dengan keadaan perpaduan, sudah tentulah muktamar kali ini yang tidak ada apa-apa masalah pertandingan dan hanya ditumpukan kepada pilihan raya sahaja. Di mana tumpuan yang satu ini lebih meneguhkan lagi muktamar kita.
S: Tuan Guru, muktamar ini juga berkait rapat dengan PRU13. Apakah persoalan calon-calon dan pembahagian kerusi akan diperbahaskan oleh para perwakilan?
J: Ya, pembahagian kerusi dan calon (bertanding) pada dasarnya diserah kepada kepimpinan disemua peringkat. Bermula diperingkat cawangan ada haknya, peringkat kawasan ada haknya, perhubungan negeri ada haknya dan di peringkat pusat yang terakhir untuk membuat keputusan. Dalam masa yang sama, kita (PAS) laksana ‘pokok yang teguh dan kuat’. Di mana akar, tunjang, batang, ranting dan daun bertaut, bertali antara satu sama lain. Sehingga kini, kita dapat menyelesaikan masalah calon sebelum muktamar dan boleh dikatakan 98 peratus masalah calon diselesaikan di seluruh negara. Oleh sebab itu, tidak timbul dalam muktamar.
S: Bagaimana jika terdapat di kalangan ahli-ahli parti yang mungkin tidak berpuas hati dengan pemilihan calon-calon parti pada PRU13. apakah Dato’ Seri Tuan Guru ada resepinya?
J: Itu biasa, tak puas hati dengan calon, itu perkara biasa dalam parti. Sehingga kini kita telah berjaya menggerakkan jentera parti dengan cara yang terbaik dibandingkan dengan tahun 50-an, 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an. Bahkan, tahun 2008 pun kita melihat bagaimana jentera-jentera parti bekerja walau pun mereka (ahli) tidak bersetuju dengan calon yang mereka harapkan (terpilih). Mereka lebih patuh kepada arahan parti, Insya’Allah. Dan saya harap supaya sikap yang sama dilangsungkan untuk pilihan raya akan dating jika terdapatnya perkara tersebut. Ini kerana, strategi kita bukan untuk tawan Dewan Undangan Negeri (Dun) sahaja, dengan sebab itu jangan ahli-ahli parti tumpu pandangan pada Dun dia sahaja. Dia kena pandang secara menyeluruh di peringkat Parlimen, peringkat negeri dan peringkat pusat. Dengan sebab itu, perlu dilihat pada pasukan calon dan bukan sahaja pada individu calon. Kita tidak nafikan individu itu penting tetapi keselarasan antara individu dengan pasukan itu sangat penting.
S: Mungkin dalam usaha kita (PAS) untuk ke Putrajaya cukup kuat pada masa kini. Nasihat Tuan Guru sendiri kepada pemimpin dan ahli PAS?
J: Saya minta walau pun kita bersemangat untuk ke Putrajaya…itu hak Allah Ta’ala, bukan hak kita. Insya’Allah, itu hak Allah Ta’ala dan tanggungjawab kita adalah bekerja, berjuang, berjihad dengan hati yang ikhlas. Ini kerana, yang akan menentukan kemenangan adalah Allah SWT. Sepatutnya, apa yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW, yang bersemangat untuk kembali ke Mekah dijadikan iktibar. Allah Ta’ala mengurniakan wahyu dan mimpi kepada Nabi, bahawa Nabi SAW akan pulang ke Mekah. Bila Nabi SAW balik tidak berlaku pada tahun itu, tetapi berlaku pada tahun yang berikut-berikutnya. Itu kepada Nabi dan kita tidak boleh menganggapnya mudah untuk ke Putrajaya…kerana untuk ke Putrajaya bukan sahaja dengan slogan, bukan sahaja dengan semangat yang berkobar-kobar pada zahirnya. Tetapi, mestilah dengan kegigihan jihad, pengorbanan dan keikhlasan kita dalam menjalankan kerja yang baik dan strategi yang baik. Ini sangat penting, sebab itu saya tidak mahu ahli-ahli PAS ini berdegar sahaja, bercakap sahaja atau berslogan sahaja. Saya mahu supaya kita bekerja dengan ikhlas dan bergantung kepada pertolongan Allah SWT.