Sekretariat Kongres Rakyat sedang meneliti teks akhir TPPA yang kini dikeluarkan pada 5 hb November 2015 melalui portal Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa ( MITI ) .
Dalam penelitian awal kami menemukan pernyataan ” Lebih berat dari yang dijangka ” sebagai respon beberapa Ngo di beberapa negara yang menyertai TPPA , bila teks akhir TPPA didedahkan .
Teks akhir TPPA yang dapat dilihat dalam portal MITI meliputi 30 bab itu maseh memerlukan konsultasi publik yang melibatkan pelbagai pihak seperti kumpulan gerakan pengguna , ngo alam sekitar dan hak manusia , badan kesihatan , kesatuan pekerja , pertubuhan agama , dewan perniagaan serta pakar ekonomi.
Kami mengesa supaya teks yang sangat panjang dan mengguna bahasa teknikal undang-undang itu hendaklah dipermudahkan supaya dapat difahami masyarakat umum .
Pihak kerjaan tidak boleh merasa sudah menunaikan tanggungjawabnya dengan mendedahkan teks itu , kerana rakyat hanya diberi masa 3 bulan untuk memahami isi perundingan yang sangat teknikal itu , sedangkan perundingan itu sendiri mengambil masa lebih 5 tahun untuk disepakati dan dilakukan dalam penuh kerahsiaan.
Walau bagaimanapun , kami memandang serius terhadap laporan dan komen beberapa pakar di beberapa negara yang menyertai rundingan TPPA , bila mereka melakukan analisis teks akhir TPPA yang didedahkan.
Suatu rumusan nampaknya mereka sepakati terhadap teks itu : TPPA adalah satu perjanjian 12 negara yang lebih parah dari yang dijangka.
Dari maklumat yang bocor , sebelum ini , sedikit maklumat diperolehi mengenai perjanjian tersebut. Namun bila satu bab demi satu bab diteliti , ternyata 500 wakil perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang mewakli korporat besar telah berjaya menjamin kepentingan mereka diperkukuhkan , akan tetapi kepentingan awam diketepikan.
Wakil korporat besar ternyata mendapat akses dan faedah maksimal dari TPPA , manakala orang awam tidak tahu apa-apa .
Dari isu perubahan cuaca hingga keselamatan makanan , kawalan terhadap internet sehingga akses kepada ubatan , TPPA didapati suatu ” malapetaka ” kata Nick Dearden dari Global Justice Now.
Perjanjian ini bakal memberi tekanan kepada kadar upah pekerja , lambakan barangan makanan yang tidak selamat dari luar , meningkatkan harga ubatan yang genting untuk menyelamatkan nywa.
Dalam isu penjagaan alam sekitar negara , TPPA mempunyai peruntukan yang sangat lemah . Syarikat minyak diberi kuasa untuk bertindak menyaman kerajaan yang menyekat perlombongan . Jika sebuah komuniti lokal menyekatkan aktiviti perlombongan , syarikat boleh mengeluarkan saman .
Persatuan Sahabat Alam (Friends of the Earth (FOE) ) menyatakan TPPA memberi ruang sangat luas kepada aktiviti perlombongan kepada syarikat antarabangsa tanpa mengambilkira kesan kepada alam sekitar dinegara yang menyertai TPPA .
Matthew Rimmer, seorang profesor mengenai hak intelektual , undang-undang dan pakar polisi perdagangan dari Queensland University of Technology , Australia menyatakan perwakilan AS telah melakukan “greenwashing” keatas TPPA iaitu mendakwa ia nampak seperti perjanjian yang mesra alam sekitar tetapi pada hakikatnya adalah perjanjian yang bakal menjejaskan alam sekitar dengan lebih parah.
Pemeliharaan alam sekitar serta mekanisme penguatkuasaan yang berkaitan dengan alam sekitar sangat lemah dalam TPPA . Liputan peraturan dalam perjanjian itu terhadap pemeliharaan biodiversiti , konservasi , sumber laut dan perdagangan serta khidmat alam sekitar , sangat terbatas.
Teks TPPA juga memperlihatkan firma besar dalam bidang bioteknologi mempunyai lebih kuasa berbanding pihak inspektorat makanan dipintu masuk import makanan luar ke dalam sesebuah negara . Syarikat agro dan makanan inginkan supaya peraturan kawalan keselamatan makanan import dikurangkan , mengurangkan syarat pelabelan makanan , melemahkan kerja inspektorat makanan import dan menghadkan peraturan negara untuk mengenakan piawaian standard makanan yang lebih ketat.
Dengan mengguna hujah ” sekatan tidah sah ke atas perdagangan ” ( illegal trade barriers ) , peraturan keselamatan makanan mengenai label , penggunaan pestisida atau bahan tambahan dalam makanan tidak dapat dikawal berdasarkan perjanjian TPPA.
Mengikut Food & Water Watch, teks akhir TPPA memberi ruang untuk syarikat perniagaan pertanian dan syarikat benih biotek kini dengan mudah boleh mengguna peraturan perdagangan dalam TPPA untuk mencabar pengharaman import bahan makanan ubahsuai genetik atau GMO . TPPA juga menghadkan pihak berkuasa menguji kandangan GMO dalam makanan import , keputusan tidak meluluskan dengan pantas kemasukan tumbuhan GMO atau mengenakan syarat memerlukan label GMO.
Ini bermakna pengguna dan petani akan menjadi mangsa dalam perjanjian TPPA , sebab kuasa inspektorat keselamatan makanan dibatasi manakala pengguna terdedah kepada kemasukan makanan yang tidak selamat.
Bab lain khususnya Seksyen J , yang menjadi kritikan kumpulan hak digital ialah berkaitan dengan keterbukaan internet. Peruntukan TPPA memberi kuasa sesuatu sesawang ditutup . Pemberi Khidmat Internet ( Internet Service Providers – IPS ) diberi kuasa menjadi “polis hakcipta”. Bermakna satu syarikat AS boleh mengarah sesawang ditutup disebuah negara lain atas alasan haksalinan ( copyright) sedang pengendali sesawang di negara lain itu tidak ada peluang untuk menafikan tuntutan tersebut .
Beberapa seksyen yang lain yang sangat berat kesannya ada kaitan dengan isu jenama , paten farmasi , perlindungan hakcipta dan ” rahsia dagangan ” ( trade secrets ).
Kami juga prihatin dalam bab 17 yang mempunyai 15 artikel menurut Anex 17 F , hanya Perbadanan Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Haji sahaja yang diberi pengecualian dari beberapa klausa yang terikat dengan beberapa peraturan dalam TPPA . Itupun dalam aktiviti yang ekslusif sahaja yang berkaitan dengan fungsi agensi tersebut. Terdapat pernyataan mengenai 2 agensi itu terkecuali dengan syarat ia tidak menerima arahan pelaburan ( investment directives ) dari kerajaan .
Pertanyaan kami kenapa 2 agansi ini sahaja? Bagaimana ratusan entiti yang lain yang dilindungi kerajaan tidak termasuk dalam pengecualian ini? Kenapa klausa tidak mendapat arahan pelaburan dari kerajaan itu dimasukkan.?
Dalam Bab 17 , perjanjian TPPA itu sarat dengan silang rujukan untuk menetapkan apa yang terpakai dan apa yang tidak terpakai dalam perjanjian ini . Ia dipenuhi dengan pelbagai syarat pengecualian. Walaupun ada klausa syarikat milik kerajaan dan anak syarikat yang dimilikki oleh syarikat induk milik kerajaan terkecuali , namun klausa yang sangat khusus disyaratkan , sehingga tidak mudah kerajaan terlepas dari peruntukan untuk bebas dari TPPA.
Kongres Rakyat maseh yakin bahawa perjanjian ini adalah alat penjajahan. Ia dilakukan dalam bentuk perjanjian yang mengikat atas nama ” free trade ” .
Kami menuntut semua Ahli Parlimen menolak TPPA dan sikap ini perlu diserlahkan dalam Dewan Rakyat.
MOHD AZMI ABDUL HAMID
Pengerusi Kongres Rakyat
9 November 2015