Tekan Patriotisme Sejati Berteraskan Islam

297

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Terengganu menegaskan patriotisme sejati ialah memahami kemerdekaan sebagai amanah menjaga agama, bangsa dan negara berlandaskan Islam, bukan sekadar kibaran bendera atau perarakan.

Ketuanya, Ustaz Hamdi Harun berkata, cinta tanah air mesti diterjemahkan melalui usaha membina jati diri, menghargai pengorbanan pejuang terdahulu dan menolak penjajahan baharu seperti hedonisme, rasuah serta keruntuhan moral.

“Bagi kami, kemerdekaan hakiki ialah kebebasan yang membawa kepada ketaatan kepada Allah, bukan kebebasan tanpa batas.

“Anak muda perlu faham bahawa merdeka bermakna bebas daripada penjajahan fizikal dan ideologi, serta amanah untuk menegakkan keadilan dan menjaga maruah bangsa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pelbagai program dianjurkan sempena bulan kemerdekaan, termasuk agihan Jalur Gemilang, kuliah kemerdekaan di masjid dan surau, gotong-royong, ziarah asnaf dan forum sejarah perjuangan ulama serta nasionalis.

Katanya, pendekatan itu menggabungkan elemen kerohanian, sejarah dan khidmat masyarakat bagi memastikan penghayatan kemerdekaan lebih menyeluruh.

Justeru itu, beliau menyeru kepada anak muda agar tidak terjebak dengan penjajahan minda melalui media sosial dan hiburan melampau.

“Sebaliknya menghayati kemerdekaan sebagai satu amanah untuk membina generasi berilmu, berakhlak dan berjiwa pemimpin,” ujar beliau lagi.