KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat menyeru seluruh anggota dan penyokongnya di negeri, Kawasan dan DUN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum lalu, melipat gandakan usaha mempertahankan kejayaan terutama di empat negeri (SG4).
Ketua Muslimat Terengganu To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, pihaknya sentiasa siap siaga mematuhi dan melaksanakan arahan Presiden dengan penuh taat, wala’ dan kesetiaan kepada Allah, RasulNya serta kepimpinan parti.
“Kami akan terus bekerja mempertahankan empat negeri di bawah PAS, PN, selain membantu usaha kemenangan di Pahang, Perak dan Selangor serta melonjakkan pencapaian di negeri-negeri selatan termasuk Sabah,” jelasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Malaysia
Mengulas ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan ke-71 Isnin lalu, kata beliau, kekuatan akan digembleng untuk mendampingi anak muda dan meningkatkan sokongan rentas kaum dengan semangat seantero Malaysia.
Tambah beliau, usaha bersepadu ini adalah sebahagian daripada strategi Muslimat untuk memperkukuh kedudukan PAS dan PN.
“Di samping mengangkat Islam sebagai penyelesaian menyeluruh kepada cabaran moral, politik, ekonomi dan sosial negara,” ujar Zarani.
Menurutnya, tema “Kembali Kepada Penyelesaian Islam” yang diangkat Presiden adalah jawapan tuntas kepada krisis dunia, termasuk keruntuhan moral, politik yang zalim, ekonomi tanpa batas halal-haram serta kemusnahan alam sekitar.
“Hanya petunjuk Allah yang teguh dan kuat, yakni Islam yang dapat menyelesaikan segala permasalahan ini,” katanya.
Justeru, beliau mengajak semua wanita Islam seluruh negara, kembali kepada ajaran Islam yang syumul menjadi penyuluh dan penawar kepada manusia.
“Semua umat Islam wajib mempertahankan ketinggian Islam, membetulkan kecelaruan pemikiran yang timbul dan kefahaman sempit di kalangan umat Islam itu sendiri,” tegasnya lagi.