Tanggungjawab Baharu Amatlah Besar, Berat Dan Mencabar

147

KUALA TERENGGANU – Naib Presiden PAS Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan tanggungjawab baharu yang diamanahkan kepadanya amatlah besar, berat dan mencabar.

“terutamanya dalam suasana pengharapan yang tinggi diberikan oleh pelbagai pihak dan rakyat kepada PN,” katanya dalam kenyataan medianya, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Muhyiddin Yassin atas khidmat sebagai Pengerusi gabungan itu sejak penubuhannya.

Menurut beliau, kepimpinan terdahulu bersama seluruh barisan MPT PN telah membina PN sebagai asas muafakat politik yang bergerak cemerlang sehingga berjaya memenangi jumlah kerusi signifikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Samsuri menegaskan, antara keutamaan awal beliau ialah mengukuhkan muafakat politik dalam PN serta melaksanakan penambahbaikan dari sudut struktur dan gerak kerja.

“Apa yang perlu disegerakan pada saat ini ialah pengukuhan muafakat politik ini, melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja yang mampu menjadikan PN sebagai nukleus harapan rakyat,” ujarnya.

YAB Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) dalam mesyuarat khas yang dihadiri Presiden parti-parti komponen serta anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (MPT PN), semalam.

Pelantikan tersebut diputuskan sebulat suara pada mesyuarat yang berlangsung pada Ahad, 22 Februari 2026.