KUALA TERENGGANU – Kesedaran awal dan keberanian wanita untuk menjalani ujian saringan kanser payudara amat penting bagi memastikan pengesanan awal dapat dilakukan dan nyawa dapat diselamatkan.
Naib Pengerusi Khairunnisa’ Terengganu, Dr Farhanaa Husainy Abdullah, berkata, ramai wanita masih diliputi perasaan takut sehingga mengelak melakukan saringan, sedangkan tindakan awal mampu memberi kelegaan dan peluang rawatan lebih baik.
“Ketakutan kepada perkara yang tidak diketahui mungkin sebab utama mengapa sebilangan wanita masih enggan melakukan saringan.
“Namun setelah saya sendiri menjalani ujian mammogram, barulah saya sedar mengetahui itu jauh lebih baik daripada tidak tahu,” katanya dalam sosialnya hari ini mengulas mengenai pengalaman di forum Mega Pink 2025 baru-baru ini.


Beliau berkata, sebelum ini beliau sering menggalakkan wanita melakukan mammogram dan akhirnya mengambil keputusan untuk ‘walk the talk’ selepas berusia 40 tahun.
“Saya antara orang yang sering memberi galakan wanita melakukan mammogram malah mungkin boleh dianggap sebagai seorang ‘advocator’ untuk saringan kanser payu dara.
“Sejak bekerja di klinik kesihatan sehinggalah bergiat dalam program kesedaran kanser payu dara bersama Khairunnisa Terengganu saban tahun, itulah harapan dan sasaran yang ingin dicapai, agar lebih ramai wanita Terengganu melakukan saringan,” ujar beliau.
Program Mega Pink 2025 yang berlangsung selama dua hari itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan ratusan wanita menyertai aktiviti zumba, fun walk bertemakan warna merah jambu serta pemeriksaan kesihatan percuma.


Dr Farhanaa turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas penganjuran program besar-besaran itu yang berjaya menarik penyertaan luas dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya kanser payudara.
“Itulah tanda sokongan kita kepada pesakit kanser payu dara dan seharusnya diteruskan di bulan-bulan yang lain juga.
“Tahniah kerajaan negeri atas usaha yang sangat baik ini. Moga program tersebut berjaya meningkatkan kesedaran kanser payu dara khasnya di kalangan wanita Terengganu.
“InsyaAllah pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.





























