Tadbir Urus Baik Diukur Melalui Pengalaman Rakyat, Bukan Retorik

261

KUALA TERENGGANU – Tadbir urus yang baik tidak seharusnya dinilai berdasarkan slogan atau dokumen semata-mata, sebaliknya melalui pengalaman sebenar rakyat dalam urusan harian dengan kerajaan,

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, tadbir urus yang berfungsi boleh diukur melalui indikator nyata seperti kecekapan penyampaian perkhidmatan, akses saksama kepada bantuan tanpa diskriminasi, rekod audit yang bersih, ketelusan perolehan dan keberkesanan penguatkuasaan tanpa pilih kasih.

“Apabila rakyat merasai keadilan dalam urusan harian di pejabat tanah, kaunter PBT atau pejabat kebajikan, itulah indikator paling jujur bahawa tadbir urus benar-benar berfungsi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Mengulas isu ketelusan, Dr Balachandran menegaskan bahawa pendedahan maklumat semata-mata tidak memadai tanpa audit dan pengesahan bebas.

Menurutnya, laporan kewangan dan perbelanjaan kerajaan mesti boleh diaudit serta diuji kesahihannya oleh institusi bebas seperti Jabatan Audit Negara.

“Jika maklumat hanya dipamerkan tetapi tidak boleh disemak, itu publisiti, bukan ketelusan,” jelas beliau.

Beliau turut memberi amaran bahawa budi bicara tanpa garis panduan dan semak imbang yang jelas membuka ruang kepada pilih kasih, campur tangan politik dan salah guna kuasa.

Justeru, setiap keputusan pentadbiran perlu bersandarkan SOP dan dasar bertulis.

Dalam konteks Terengganu, Dr Balachandran berpandangan bahawa pentadbiran PAS berjaya mewujudkan ekosistem yang mengecilkan risiko rasuah berskala besar melalui budaya kepimpinan sederhana, perbelanjaan berhemah dan penekanan kepada amanah serta akauntabiliti moral.

“Ketiadaan skandal besar bukan sekadar soal individu, tetapi hasil reka bentuk pentadbiran yang menghadkan ruang salah guna kuasa,” katanya.

Beliau menambah, perbezaan utama tadbir urus PAS di Terengganu bukan terletak pada slogan reformasi, tetapi budaya kerja membenarkan sistem mengatasi kehendak individu, sekali gus membina apa yang disifatkan sebagai budaya tadbir urus mengawal dirinya sendiri.

Dalam masa sama, beliau menggesa rakyat memainkan peranan sebagai ‘auditor sosial’ dengan memantau pelaksanaan projek, menggunakan saluran aduan rasmi dan menilai kerajaan berdasarkan pengalaman komuniti, bukan persepsi media.

“Tadbir urus yang bersih lahir apabila kuasa diikat dengan peraturan, ketelusan diuji dengan audit dan keadilan dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” tambah beliau.