Soal Jawab RUU355 (Siri 1): Kenapa Dibentang Oleh Ahli Parlimen Pembangkang Dan Tidak Dibentang Oleh Kerajaan?

1549

Pembentangan Rang Undang-undang oleh Ahli Parlimen yang bukan mewakili kerajaan adalah sah menurut undang-undang. Menurut Seksyen 49 Standing Order of Dewan Rakyat, mana-mana anggota Dewan Rakyat boleh mencadangkan undang-undang tertakluk kepada prosedur tertentu. Jadi, kaedah ini tidak ada masalah dari sudut undang-undang.

2. Ada kemungkinan besar pemimpin UMNO sukar mendapat sokongan pemimpin parti komponen lain dalam BN untuk membawa perkara ini ke Parlimen. Andaian ini berasaskan penentangan hebat yang disuarakan oleh pemimpin MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti dari Sabah serta Sarawak berhubung cadangan ini.

3. Dalam masa yang sama pemimpin kerajaan berdepan dengan tekanan hebat untuk menyetujui cadangan pindaan ini. Tekanan ini datang dari anggota UMNO yang mengambil berat isu ini serta dari kelompok pentadbiran agama dari JAKIM, JKSM, jabatan kehakiman syariah negeri-negeri dan jabatan agama negeri-negeri serta lain-lain. Selain itu pengamal undang Syariah dan cendikiawan muslim telah pun mendesak agar pindaaan undang-undang ini dibuat sejak sekian lama.

4. Kewujudan desakan ini turut disokong oleh kesedaran masyarakat Islam tentang hal ini mendorong UMNO untuk tidak mengkesampingkan tuntutan ini agar mereka tidak tertinggal dari sudut sokongan politik pengundi Islam.

Dr Fathi Yusof5. Dengan wujud dua kontradiksi ini (halangan parti komponen dan tekanan dalaman serta luaran), maka pemimpin kerajaan memilih untuk menyokong rancangan PAS untuk membawa usul ini ke Parlimen. Tanpa persetujuan anggota kabinet, mustahil cadangan usul pindaan ini dapat dikemukakan untuk diundi.

6. Jika hendak ditunggu RUU ini dibawa oleh kerajaan, saya menjangkakan ia agak sukar dan hampir mustahil jika dilihat kepada realiti politik semasa. Melainkan jika terdapat perubahan ketara dari sudut persepsi kurang baik masyarakat bukan Islam terhadap mahkamah Syariah.

7. Jadi, tindakan membawa RUU melalui ahli Parlimen pembangkang dengan persetujuan pemimpin kerajaan adalah langkah terbaik bagi memastikan usaha yang amat penting untuk memartabatkan Mahkamah Syariah ini dapat dilaksanakan.

8. Selain daripada sebab yang dinyatakan di atas, terdapat juga faktor teknikal berkaitan laluan prosedural yang agak panjang bagi mengemukakan pindaan melalui kerajaan, terutamanya jika mengambilkira isu berkaitan dengan bidang kuasa Sultan-sultan di negeri masing-masing.

Dr Fathi Yusof
Gombak, Selangor.