Sidang DUN ; Bajet 2016 Gagal Sedia Peluang 41,000 Pekerjaan

1059

Oleh : MNA

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim mempersoalkan kejayaan Bajet 2016 yang lalu apabila beliau mengemukakan persoalan anggaran peluang pekerjaan dengan hakikat sebenar jumlah pekerjaan yang disediakan.

Beliau bangun mengemukakan soalan tambahan kepada soalan wakil Langkap, Dato’ Haji Sabri Mohd Noor (BN).

(Gambar atas : Segelintir pekerja warga asing diperiksa dalam serbuan Jabatan Imigresen Terengganu, di sekitar tapak pembinaan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus)

Katanya lagi, jurang angka yang sangat jauh itu tidak menunjukkan kejayaan bajet lalu dengan sebanyak lebih 41 ribu peluang pekerjaan telah dijanjikan pada dalam Bajet 2016, tetapi hanya 200 lebih sahaja wujud.

“Adakah pihak kerajaan merasakan Bajet 2016 itu telah berjaya?

“Dalam keadaan…..saya merujuk kepada ucapan Bajet 2016 mukasurat 20, nombor 34, kerajaan akan membuka peluang 41,201 peluang pekerjaan.

Hishamuddin“Saya merujuk kembali kepada soalan bertulis yang telah dijawab bagi soalan saya sendiri, jumlah pelaburan bagi tahun 2016 untuk negeri Terengganu adalah sebanyak RM75 juta, peluang pekerjaan hanyalah 254,” soal beliau.

YAB Menteri Besar Haji Ahmad Razif Abdul Rahman bangun menjawab persoalan itu dengan mendakwa angka itu adalah dikeluarkan oleh badan kerajaan dan mengatakan bahawa fokus kepada bajet daripada kerajaan tidak lagi diutamakan.

Sebaliknya konsep penswastaan lebih diutamakan dan menjadikan angka berkenaan, adalah hasil dapatan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).

Tanpa beliau menyebut kegagalan kerajaan itu, MB sebaliknya mengulangi peluang pekerjaan yang bakal disediakan sehinggakan antara disebut beliau projek perumahan sebanyak 14 ribu lebih dan membayangkan peluang pekerjaan yang bakal ada.

Ustaz Hishamuddin bangun sekali lagi mempersoalkan jawapan MB yang nyata tidak memuaskan itu tetapi beliau tidak dibenarkan oleh Yang DiPertua Dewan, Dato’ Zubir Embong bagi meneruskan soalan beliau.

Diminta mengulas tentang jawapan tersebut, Ustaz Hishamuddin berkata, MB mungkin tidak sedar yang sektor pembinaan perumahan dan bangunan telah dikuasai oleh pekerja-pekerja Bangladesh dan Indonesia.