Seramai 37 orang terbunuh apabila penunjuk perasaan pro dan anti-kerajaan bertempur di Venezuela sejak demonstrasi ganas terus merebak seluruh negara Amerika Selatan itu.
Gelombang baru itu bermula sejak 4 April lalu ekoran menghadapi krisis sosial, politik dan ekonomi.
Ia ditambah keputusan Mahkamah Tinggi Keadilan memberikan kuasa kepada Dewan Negara yang dikawal oleh parti pembangkang.
Walaupun Mahkamah telah mengubah keputusan itu, bantahan jalanan tidak berhenti.
Beratus-ratus polis dan abggota pengawal negara telah menyekat perarakan universiti sekitar Universiti Pusat Venezuela di Caracas, apabila para pelajar berarak menuju ke arah Kementerian Perhubungan Negeri.
Penunjuk perasaan cuba tetapi tidak berjaya untuk berunding dengan pihak berkuasa dan sejam selepasnya tentera menembak gas pemedih mata dan peluru getah pada orang ramai.
Parti-parti pembangkang dan pelajar telah mengecam tindakan polis yang dituduh berat sebelah.
Bantahan telah meningkat awal minggu ini apabila penunjuk perasaan menolak perintah Presiden Nicolas Maduro untuk menulis semula Perlembagaan negara yang diasaskam pada tahun 1999 oleh bekas Presiden popular Hugo Chavez.
Sekurang-kurangnya enam mangsa terbunuh sejak pengumuman pada Isnin, membawa kepada 37 bilangan mati dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurut kumpulan pemantau sistem penjara dan tahanan. lebih daripada 400 orang telah cedera dan 1,700 ditahan dan seramai 567 orang masih di bawah tahanan.
Pihak pembangkang menyalahkan kerajaan kerana krisis ekonomi dan menuntut pilihan raya awal serta pembebasan lebih 100 tahanan politik.
Mereka berpendapat bahawa keputusan Presiden untuk menulis semula Perlembagaan adalah satu percubaan untuk mengalihkan perhatian daripada masalah negara dan cubaan untuk menangguhkan pilihan raya.
Sehubungan itu, pentadbiran AS telah mengancam untuk mengenakan sekatan tambahan ke atas pegawai-pegawai Venezuela jika keadaan tidak bertambah baik.
Pada bulan Februari, AS menyekat Naib Presiden Tareck El Aissami atas tuduhan sebagai pengedar narkotik utama.