Serah Kepada Presiden Tentukan Hala Tuju Parti

371

Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS mengingatkan semuanya ahlinya agar menyerahkan kepada Presiden PAS, Dato Seri’ Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju perjalanan parti.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, semua pihak perlu memiliki keyakinan dan memberi mandat sepenuhnya kepada pemimpin, membuat apa jua keputusan demi masa hadapan parti.

Katanya, ia termasuk dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak samada dengan rakan dalam Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ini bukan masa untuk berteka teki, kita punya nakhoda yang jelas, tak perlu ramai yang hendak bercakap tentang itu dan ini, nak bicara itu dan ini dalam meletakkan hala tuju parti, berapa ramai hendak jadi nakhoda dalam parti?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pengulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67, di Duyong Marina & Resort, di sini, pada Ahad 7 November.

Tegasnya, jangan ada mana pimpinan dah ahli PAS yang lain bertindak sesuka hati menjadi juru runding lain tanpa merujuk kepada institusi presiden kerana dikhuatiri ia dibuat demi kepentingan peribadi semata-mata.

“Kita bimbang akan ada perunding menjual nama parti untuk kepentingan diri,” ujarnya.