BAITULMAQDIS – Seorang warga rejim Israel terbunuh dan dua yang lain cedera dalam kejadian tembak menembak berhampiran bandar Tebing Barat di selatan Hebron pada hari Isnin.
Insiden pada permulaan percutian Paskah Yahudi adalah serangan maut yang pertama terhadap rejim Israel di Tebing Barat yang diduduki sejak awal tahun ini.
Kejadian itu berlaku dalam ketegangan yang memuncak ekoran rundingan damai yang ditaja oleh Amerika Syarikat antara Pihak Berkuasa Palestin dengan rejim Israel.
“tembakan telah disasarkan kepada kenderaan awam warga Israel di Route 35, berhampiran Hebron, dan kami menjalankan carian meluas terhadap pelaku … seorang warga awam Israel terbunuh dalam serangan itu,” kata jurucakap tentera rejim.
Satu kenyataan berasingan berkata dua lagi warga Israel lain cedera.
Lelaki Israel yang dibunuh adalah seorang pegawai polis dari bandar Modiin di tengah Israel, kata sumber keselamatan Israel yang tidak mahu namanya disiarkan.
Isteri anggota polis dan kanak-kanak berusia sembilan tahun cedera dan dipindahkan ke hospital. Tiga kanak-kanak lain berada dalam kenderaan itu, menurut radio tentera Israel.
Saksi yang melihat kejadian di dalam kereta lain berkata mereka melihat seorang lelaki yang memakai topi keledar dan menembak dengan senapang Kalashnikov di tepi jalan.