Selepas Bertudung, Nina Hanya Menyanyi Untuk Khalayak Wanita Sahaja

3488

PENYANYI Mizz Nina membuat keputusan untuk mengadakan persembahan nyanyian di hadapan penonton wanita sahaja.

Anak kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim itu, memutuskan demikian setelah beliau kembali dari menunaikan fardhu haji pada November 2013.

Nina yang juga isteri kepada Noh, vokalis kumpulan Hujan, turut mencatat sejarah apabila mengubah cara berpakaian dengan memakai tudung selepas menunaikan rukun Islam yang ke lima itu.

Katanya, keputusan untuk tidak melibatkan penonton lelaki ketika mengadakan persembahan dibuat atas kesedaran sendiri.

Noh-Dan-Mizz-Nina-tunai-haji“Saya akan menyanyi di hadapan penonton wanita saja. Keputusan itu saya buat selepas berhijrah.

“Suami menyokong keputusan saya. Saya tidak menyesal meninggalkan bidang muzik kerana sudah puas mengecapinya.

“Kini, saya ingin memberikan perhatian kepada butik dan juga syarikat produksi yang ditubuhkan sejak setahun lalu,” katanya yang dipetik dalam satu portal berita hari semalam.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman turut berazam membuang dunia muzik lama dan akan menyanyi lagu-lagu kerohanian.

“Selepas ini, tiada lagi Mizz Nina yang lama, daripada segi muzik dan lagu-lagu saya semuanya akan berubah. Saya akan tinggalkan terus dunia muzik yang lama dan bermula semula dengan arah baharu.

“Insya-Allah, pada tahun depan saya akan menghasilkan sebuah single baharu yang lebih bersifat kerohanian dan menyampaikan mesej tersirat pada masa sama.

“Tapi buat masa sekarang saya perlu fokus untuk diri sendiri dulu dan berehat seketika daripada dunia seni,” ujarnya yang ditemui Kosmo ketika acara Shout! Awards di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau menerima anugerah Ahout Awards tersebut dengan berpakaian sopan dan bertudung dengan tema hitam dan putih.