Russia dan China veto halang resolusi Syria

981

– Dunia Arab dan kuasa-kuasa Barat luahkan kemarahan
DAMSYIK –  Selepas Russia dan China semalam bertindak menggunakan kuasa veto masing-masing menghalang satu resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan mengutuk tindakan keras Syria terhadap para pembantahnya.

Langkah Russia dan China itu dibuat sedang masyarakat antarabangsa mengutuk keras ‘pembunuhan beramai-ramai’ di bandar Homs oleh Syria dan meningkatnya perangkaan kematian menyusuli tindakan rejim pemerintahnya, semalam.

Kuasa veto kembar yang dilakukan kedua-dua negara sekutu Syria itu mengundang kutukan daripada kuasa-kuasa dunia itu, manakala kumpulan pembangkang Majlis Kebangsaan Syria (SNC) berkata ia telah memberikan rejim Presiden Bashar al-Assad satu ‘lesen untuk membunuh’.

Para aktivis Syria pula semalam melaporkan lagi 57 orang terbunuh akibat keganasan di negara itu, menambahkan kepada jumlah kematian dalam salah satu daripada tempoh hujung minggu paling berdarah di Syria, sejak pemberontakan terhadap rejim Presiden Assad tercetus hampir 11 bulan lalu.

Para aktivis dan penduduk melaporkan kematian lebih 200 orang awan sebelum ini, termasuk wanita dan kanak-kanak, sepanjang malam Jumaat lalu dalam satu serangan besar-besaran oleh pasukan keselamatan rejim itu di bandar Homs.

Meningkatnya keganasan itu, diikuti dengan langkah penggunaan kuasa veto kedua PBB dalam masa empat bulan, telah mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa di atas kegagalan PBB mencapai kata sepakat.

Washington berkata ia ‘berasa kesal’ terhadap veto kembar itu, manakala Perancis pula mengutuk pembunuhan beramai-ramai di bandar Homs pada Jumaat lalu sebagai satu ‘jenayah terhadap kemanusiaan’.

Askar-askar rejim Assad membedil rumah-rumah di Homs ‘secara rambang’ sepanjang malam itu, membunuh lelaki, wanita dan kanak-kanak, kata SNC.

Difahamkan sekurang-kurangnya 260 orang awam terbunuh dalam serangan tersebut.

Kumpulan hak asasi The Syrian Observatory for Human Rights pula berkata sekitar 100 wanita dan kanak-kanak adalah antara 237 orang yang terbunuh dalam senarai kematiannya.

Kedua-dua pertubuhan itu berkata ratusan lagi cedera.

Pemerintah Syria bagaimanapun menafikan bertangungjawab ke atas kematian itu.

Sebanyak 13 daripada 15 negara anggota Majlis Keselamatan PBB mengundi menyokong resolusi terhadap Syria itu, yang disarankan negara-negara Eropah dan Arab bagi menyokong penuh rancangan Liga Arab mahu menamatkan tindakan keras di Syria. — AFP.