BISHKEK, 2 September – Iran tidak berdepan konflik dengan Amerika Syarikat secara bersendirian apabila Rusia dan China terus menunjukkan sokongan politik serta diplomatik kepada Tehran ketika perang yang semakin memuncak di Asia Barat.
Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Selasa menegaskan Moscow akan terus membantu Iran dalam menghadapi situasi sukar susulan konflik dengan Amerika Syarikat.
Dalam pertemuan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Bishkek, Kyrgyzstan, Putin berkata Rusia sedang membekalkan barangan yang diperlukan Tehran.
“Dalam tempoh sukar ini, kami cuba memberikan bantuan yang anda perlukan. Kami sudah membincangkannya dan kami membekalkan barangan yang diperlukan.” kata Putin
Putin turut menyatakan solidariti Rusia terhadap rakyat Iran dalam mempertahankan kepentingan nasional mereka.
Pertemuan itu menjadi penting kerana ia merupakan antara pertemuan utama pemimpin Rusia dan Iran sejak konflik tercetus pada Februari lalu.
Pezeshkian pula merakamkan penghargaan kepada Moscow atas pendirian Rusia terhadap Iran, termasuk sokongan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan forum antarabangsa.
“Kami menghargai dan berterima kasih kepada anda atas pendirian anda pada setiap peringkat, ketika pertempuran dan tindakan agresif berlaku mahupun ketika keadaan normal, termasuk ketika Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap kami.” ujar President Iran itu.
Dalam perkembangan sama, China turut menegaskan pendiriannya bahawa kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Iran mesti dihormati.
Beijing sebelum ini secara terbuka menggesa Amerika Syarikat dan Israel menghentikan tindakan ketenteraan terhadap Iran serta menyeru semua pihak kembali kepada rundingan.
Pendirian China bagaimanapun lebih berhati-hati berbanding Rusia kerana Beijing turut mempunyai kepentingan ekonomi dan tenaga yang besar di rantau Teluk.
Kementerian Luar China menegaskan bahawa Beijing “menyokong Iran dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan, keutuhan wilayah dan maruah negaranya”, selain menyokong hak sah Iran.
China juga menggesa tindakan ketenteraan dihentikan serta-merta dan konflik tidak diperluaskan ke seluruh Asia Barat.
“China menyeru Amerika Syarikat dan Israel supaya segera menghentikan operasi ketenteraan, mencegah peningkatan ketegangan dan menghentikan konflik daripada merebak.”


Bagaimanapun, sokongan China kepada Iran tidak bermakna Beijing memasuki perang secara langsung bersama Tehran.
China lebih menumpukan kepada tekanan diplomatik, rundingan dan usaha menghalang konflik daripada merebak, khususnya kerana Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi perdagangan dan bekalan tenaga dunia.
Pendirian itu berbeza dengan Rusia yang kini secara terbuka bercakap mengenai bantuan material kepada Iran.
Laporan terbaharu juga menyebut kerjasama ketenteraan Rusia-Iran semakin mendalam, termasuk dakwaan bantuan teknologi berkaitan pembangunan peluru berpandu supersonik Iran. Bagaimanapun, peluru berpandu berkenaan dilaporkan masih belum digunakan secara operasi.
Perkembangan itu menunjukkan perang Iran-Amerika Syarikat kini mempunyai dimensi geopolitik yang lebih luas.
Rusia melihat Iran sebagai rakan strategik penting dalam usaha mencabar pengaruh Amerika Syarikat, manakala China mempunyai kepentingan besar terhadap kestabilan Asia Barat, keselamatan tenaga dan kelangsungan perdagangan antarabangsa.
Sidang Kemuncak SCO di Bishkek turut menyaksikan negara anggota menyuarakan kebimbangan terhadap serangan ke atas Iran dan menegaskan bahawa konflik perlu diselesaikan melalui kaedah politik serta diplomatik.
Namun begitu, sehingga kini tiada petunjuk bahawa China atau Rusia secara rasmi menghantar pasukan tempur untuk berperang secara terbuka menentang Amerika Syarikat bersama Iran.
Sebaliknya, sokongan Moscow dilihat semakin bersifat strategik dan material, manakala Beijing lebih menonjolkan sokongan diplomatik serta ekonomi.
Perkembangan ini sekali gus meletakkan Iran dalam kedudukan yang lebih kukuh dari segi hubungan antarabangsa ketika berdepan tekanan ketenteraan dan ekonomi daripada Washington.
Dengan Rusia dan China terus mempertahankan hubungan strategik dengan Tehran, usaha Amerika Syarikat untuk mengasingkan Iran daripada sokongan kuasa besar dunia berdepan cabaran yang semakin besar.





























