RM50,000 Dana Bantu Usahawan Beli Alatan Niaga

98

BESUT – Kerajaan PAS Negeri Terengganu memperuntukkan dana berjumlah RM50,000 bagi membantu 39 usahawan membeli aset dan peralatan perniagaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera menerusi pelaksanaan Program Dana Usahawan Terengganu (DUTE) 2025.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Haji Mohd NurKhuzaini Ab Rahman, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkasa sektor perusahaan mikro dan kecil serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.

Katanya, bantuan disalurkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bukan pemberian tunai, memastikan bantuan tersebut memenuhi keperluan operasi yang spesifik dan dimanfaatkan secara optimum oleh para penerima.

“Sebanyak RM50,000 dana telah disumbangkan kepada 39 penerima yang terdiri daripada usahawan pelbagai latar belakang seperti pengusaha makanan, jahitan, bengkel kenderaan, pembinaan dan kraftangan.

“Bantuan ini disalurkan mengikut keperluan perniagaan masing-masing bagi memastikan mereka dapat meningkatkan produktiviti serta kualiti perkhidmatan,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Kota Putera berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan tersebut di Anjung Kota Putera Square, Besut, pada Selasa 27 Januari.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan program, beliau memaklumkan bahawa enam daripada jumlah keseluruhan penerima telah menerima peralatan secara terus di premis perniagaan masing-masing.

Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memudahkan urusan logistik usahawan serta memastikan peralatan sampai ke tangan kumpulan sasar dengan berkesan.

Dalam pada itu, Mohd Nurkhuzaini turut menegaskan agar para penerima memanfaatkan sepenuhnya kelengkapan yang diterima untuk menjana pendapatan secara berdikari.

Beliau mengingatkan supaya peralatan tersebut tidak dibiarkan tanpa penggunaan atau dijadikan perhiasan semata-mata, memandangkan cabaran ekonomi semasa menuntut ketahanan dan daya saing yang tinggi.