Ringgo (Arrow) Tepis Tuduhan Jadi Ahli PAS

4305

Bekas vokalis kumpulan Arrow iaitu Ringgo menafikan pernah menyertai dan bergiat aktif dengan parti politik pembangkang iaitu PAS.

Ringgo atau nama sebenarnya Mohd Zain Ramli, 45, berkata, dakwaan kononnya dia menyertai parti tersebut apabila dia sering dilihat memenuhi undangan nyanyian yang dianjurkan pihak pembangkang.

“Saya tidak pernah menyertai mana-mana parti politik pun, selama ini ramai yang menyangka saya menyertai pembangkang kerana saya selalu dilihat menyanyi pada majlis mereka tetapi ia tidak benar.

“Jika ada pihak menuduh saya menyertai mana-mana parti pembangkang, saya minta pihak-pihak berkenaan untuk tunjukkan bukti,” katanya kepada mStar Online, ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan peserta program Kilauan Emas, di Saloma Bistro, di sini, Selasa.

Ringgo berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan dia menghilangkan diri daripada industri seni selama ini selepas menyertai sebuah parti politik pembangkang.

Dia pernah popular sekitar tahun 90-an dengan lagu-lagu jiwang antaranya Sendu Di Hatimu Rindu Di Jiwa Ku, Aku Tak Marah dan Niat Di Hati Tak Nak Berpisah.

Tambah Ringgo, dia menerima undangan nyanyian daripada parti kerajaan ataupun pembangkang kerana kedua-duanya boleh memberi pendapatan kepadanya.

“Menyanyi adalah sumber pendapatan saya dan saya akan terima sahaja undangan daripada mana-mana pihak yang sanggup bayar.

“Kalau diikutkan, saya ramai kawan-kawan daripada kedua-dua buah parti, jadi saya tidak mahu menyokong mana-mana pun,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah dakwaan tersebut menjejaskan imej dan sumber pendapatannya sebagai artis, Ringgo berkata, pendapatannya sebagai artis terjejas sejak kegawatan ekonomi dan kelembapan industri hiburan tanah air.

Dalam pada itu, Ringgo memberitahu, selain memenuhi undangan nyanyian, dia turut mengusahakan sebuah kedai makanan di Puchong, dekat sini.

“Industri hiburan tidak berapa bagus dan kami ambil keputusan untuk berpecah dan buat hal masing-masing.

“Selepas itu saya buka sebuah kedai makan bersama seorang rakan di Puchong bagi menyara kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Ringgo yang turut terpilih sebagai peserta program Kilauan Emas musim keempat mengakui terpaksa membuang segala perasaan malu untuk memulakan semula kerjaya nyanyiannya.

Katanya, penyertaan dia dalam program tersebut juga mendapat beberapa tentangan daripada rakan-rakan artis seangkatan.

“Ramai yang beri pandangan negatif dan tidak benarkan saya menyertai program ini kerana sudah mempunyai tahap tertentu dalam industri.

“Namun saya pekakkan sahaja telinga dan teruskan niat saya untuk mencuba nasib sekali lagi dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Antara artis yang pernah menyertai pertandingan Kilauan Emas ialah bekas peserta Sinaran Pasport Kegemilangan (TV3) iaitu Alina Hassan dan juga Mama Rina (AF6).

Konsert Kilauan Emas akan bersiaran secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini pada setiap Rabu, pukul 9.30 malam di Astro Prima (105).