Reformasi Malaysia melangkah ke peringkat antarabangsa. Dilaporkan oleh media Malaysiakini bertarikh 13 Disember 2025, memetik laporan mereka:
“Malaysia melalui Kementerian Pertahanan memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) Kerjasama Pertahanan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang bertujuan meluaskan skop kerjasama pertahanan secara lebih menyeluruh.
Pemeteraian itu dilaksanakan ketika lawatan kerja Menteri Pertahanan (MENHAN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke negara timur tengah itu bagi memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.
Mohamed Khaled dalam sebuah kenyataan berkata, usaha itu selari dengan aspirasi kedua-dua negara untuk mewujudkan diplomasi pertahanan yang lebih erat, moden, dan berpandangan jauh, bukan sahaja tertumpu kepada aspek ketenteraan.
Menurut beliau, MOU itu mencerminkan komitmen Malaysia dan UAE dalam menggalakkan penyelidikan pertahanan bersama, meneroka pengeluaran produk pertahanan, dan membangunkan keupayaan baharu yang memberikan manfaat timbal balik.”
Sebelum itu, kerjasama telah diadakan dalam aspek ekonomi dan lain-lain.
UAE ialah negara tuan rumah perisytiharan teori agama Abraham (Abraham Accords) yang dibawa oleh Presiden Donald Trump, beralasan bagi perdamaian Asia Barat melalui peta baharu dunia yang telah ditaja oleh Amerika Syarikat, kini diteruskan oleh Presiden Donald Trump berasaskan tiga agama yang digabungkan (Islam, Yahudi, dan Kristian), agama yang bernabikan zuriat Nabi Ibrahim AS. Langkah ini ialah langkah reformasi hubungan antarabangsa bagi keamanan dunia dan khusus bagi penyelesaian isu Palestin.
Ketika wabak COVID-19, UAE menjadi tuan rumah untuk mengadakan sembahyang Khamis yang dianjurkannya, dengan mengumpulkan tiga agama (Islam, Yahudi, dan Kristian) bersembahyang bersama bagi menolak bala, kerana hari Jumaat adalah bagi umat Islam, Sabtu bagi Yahudi, dan Ahad bagi Kristian.
Gagasan ini nyata menentang ketetapan Allah SWT dalam al-Quran bahawa Nabi Ibrahim dan para anbiya’ daripada zuriatnya ialah penganut Islam. Agama Yahudi dan Kristian dikeluarkan daripada Islam yang dianut oleh para anbiya’ dan dinyatakan dalam banyak ayat secara berulang kali.
Firman Allah SWT:
وَمَن يَرۡغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبۡرَٰهِـۧمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفۡسَهُۥۚ وَلَقَدِ ٱصۡطَفَيۡنَٰهُ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَإِنَّهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٣٠ إِذۡ قَالَ لَهُۥ رَبُّهُۥٓ أَسۡلِمۡۖ قَالَ أَسۡلَمۡتُ لِرَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٣١ وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبۡرَٰهِـۧمُ بَنِيهِ وَيَعۡقُوبُ يَٰبَنِيَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٣٢
“Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sungguh Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh. (130) Ketika Tuhannya berfirman kepadanya, ‘Tunduk patuhlah!’ Ibrahim menjawab, ‘Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam.’ (131) Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya‘qub. (Ibrahim berkata), ‘Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam!’ (132)” [Surah al-Baqarah: 130–132]
Firman Allah SWT:
أَمۡ كُنتُمۡ شُهَدَآءَ إِذۡ حَضَرَ يَعۡقُوبَ ٱلۡمَوۡتُ إِذۡ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعۡبُدُونَ مِنۢ بَعۡدِيۖ قَالُواْ نَعۡبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ ءَابَآئِكَ إِبۡرَٰهِـۧمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗا وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ١٣٣ تِلۡكَ أُمَّةٞ قَدۡ خَلَتۡۖ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَلَكُم مَّا كَسَبۡتُمۡۖ وَلَا تُسۡـَٔلُونَ عَمَّا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٣٤
“Adakah kamu hadir ketika Ya‘qub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, ‘Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?’ Mereka menjawab, ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Isma‘il, dan Ishaq, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.’ (133) Itu ialah umat yang lalu; baginya apa-apa yang telah diusahakannya dan bagimu apa-apa yang sudah kamu usahakan, dan kamu tidak akan diminta pertanggungjawaban tentang apa-apa yang telah mereka kerjakan. (134)” [Surah al-Baqarah: 133–134]
Firman Allah SWT:
مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٦٧
“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, tetapi dia ialah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan Musyrik.” [Surah Ali ‘Imran: 67]
Firman Allah SWT:
قُلۡ إِنَّنِي هَدَىٰنِي رَبِّيٓ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ دِينٗا قِيَمٗا مِّلَّةَ إِبۡرَٰهِيمَ حَنِيفٗاۚ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ١٦١ قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦٢ لَا شَرِيكَ لَهُۥۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ١٦٣
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku ke jalan yang lurus, (iaitu) agama yang benar, agama Ibrahim yang lurus, dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang Musyrik.’ (161) Katakanlah, ‘Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. (162) Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku ialah orang yang pertama-tama menganut Islam (menyerahkan diri kepada Allah).’ (163)” [Surah al-An‘am: 161–163]
Perkara ini turut ditafsirkan oleh sabda Rasulullah SAW:
فَإِنَّهُ لَوْ كَانَ مُوسَى حَيًّا بَيْنَ أَظْهُرِكُمْ، مَا حَلَّ لَهُ إِلَّا أَنْ يَتَّبِعَنِي.
“Sesungguhnya, kalau Nabi Musa masih hidup ketika aku diutus sebagai rasul dalam kalangan kamu, tiada ruang baginya menganut agama lain melainkan wajib mengikutiku (menganut Islam).” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 14631, daripada Jabir bin ‘Abdillah. Status hadis: Hasan]
Di sini menunjukkan bahawa semua anbiya’, termasuk para anbiya’ Bani Isra’il (berbangsa Yahudi) menganut Islam.
Al-Quran mendedahkan penyelewengan Yahudi yang meminda kitab Allah. Firman Allah SWT:
مِّنَ ٱلَّذِينَ هَادُواْ يُحَرِّفُونَ ٱلۡكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِۦ وَيَقُولُونَ سَمِعۡنَا وَعَصَيۡنَا وَٱسۡمَعۡ غَيۡرَ مُسۡمَعٖ وَرَٰعِنَا لَيَّۢا بِأَلۡسِنَتِهِمۡ وَطَعۡنٗا فِي ٱلدِّينِۚ وَلَوۡ أَنَّهُمۡ قَالُواْ سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَا وَٱسۡمَعۡ وَٱنظُرۡنَا لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۡ وَأَقۡوَمَ وَلَٰكِن لَّعَنَهُمُ ٱللَّهُ بِكُفۡرِهِمۡ فَلَا يُؤۡمِنُونَ إِلَّا قَلِيلٗا ٤٦
“Iaitu orang-orang Yahudi, mereka mengubah perkataan daripada tempat-tempatnya. Mereka berkata, ‘Kami mendengar, tetapi kami tidak mahu menurutinya.’ Dan (mereka mengatakan pula), ‘Dengarlah,’ sedangkan kamu sebenarnya tidak mendengar apa-apa. Dan (mereka mengatakan), ‘Ra‘ina,’ dengan memutar-mutar lidah mereka dan mencela agama. Sekiranya mereka mengatakan, ‘Kami mendengar dan menurut, dan dengarlah, dan perhatikanlah kami,’ tentulah itu lebih baik bagi mereka dan lebih tepat, tetapi Allah mengutuk mereka kerana kekafiran mereka. Mereka tidak beriman kecuali iman yang sangat tipis.” [Surah al-Nisa’: 46]
Firman Allah SWT yang melaknat mereka:
وَمِنۡهُمۡ أُمِّيُّونَ لَا يَعۡلَمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّآ أَمَانِيَّ وَإِنۡ هُمۡ إِلَّا يَظُنُّونَ ٧٨ فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩
“Dan antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui al-Kitab (Taurat), kecuali dongengan bohong belaka dan mereka hanya menduga-duga. (78) Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan, ‘Ini daripada Allah,’ (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang mereka kerjakan. (79)” [Surah al-Baqarah: 78–79]
Firman Allah SWT:
ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٣١
“Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah daripada apa-apa yang mereka sekutukan.” [Surah al-Tawbah: 31]
Maka, langkah Kerajaan Malaysia pimpinan Pakatan Harapan (PH) menjemput Presiden Donald Trump menjadi tetamu kehormat ialah seperti pengiktirafan kepada kepimpinannya, walaupun beberapa negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menunjukkan protes terhadap agendanya yang terlampau meraikan tetamu tersebut, dengan mengambil kesempatan sebagai tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN dan mengheret beberapa orang pemimpin untuk menandatangani perjanjian.
Tunggu dan lihat bahawa lubang yang ditebuk ini akan diikuti oleh normalisasi terhadap negara Zionis dalam aspek yang lebih parah, di samping mengheret negara kepada tujuan yang sebenar daripada program agama sesat Abraham yang terbuka kepada kerjasama ke arah wala’ (kesetiaan) yang dilarang oleh Allah dan melaksanakan agenda Zionisme yang menakluk dunia.
Allah SWT memberikan amaran:
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ ١٢٠
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [Surah al-Baqarah: 120]
Langkah tersebut terkeluar daripada perjanjian Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS:
۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٢٤
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘(Dan aku mohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.’” [Surah al-Baqarah: 124]
Kini, nyata kepada umum betapa kezaliman yang melampau dilakukan di Palestin.
Di samping itu, langkah mengiktiraf agama Abraham juga menentang Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang merupakan penasihat agama kepada Majlis Raja-Raja.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 1/2017-1438H yang bersidang pada 15 Februari 2017 Masihi bersamaan 18 Jumada al-Ula 1438 Hijri telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-109 berkenaan Millah Abraham @ Ibrahim dengan sighah seperti berikut:
1. Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim mengandungi perkara-perkara berikut:
a. Membawa ajaran Islam baharu.
Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim mendakwa kerajaan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah lama jatuh sejak tahun 1324 Hijri. Setelah kejatuhan kerajaan Islam pada tahun 1324 Hijri, pengikut Millah Abraham mendakwa bahawa golongan Musyrik, termasuk para ulama’ telah membawa ajaran Islam yang palsu dan hendaklah bertaubat dengan memilih kembali din Millah Abraham @ Ibrahim.
b. Mendakwa wujud rasul selepas Nabi Muhammad SAW.
Ajaran ini mentafsirkan bahawa Allah SWT mengutus rasul dalam kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaum tersebut memahami dan mengajar mereka untuk keluar daripada kesesatan.
Maka, rasul Millah Abraham diutus daripada kalangan bangsa Melayu Nusantara untuk membaca, menyucikan, serta mengajar kaum Melayu Nusantara ini mengenai agama yang benar. Rasul yang dimaksudkan oleh kumpulan ini ialah Ahmad Mushaddeq. Maksud Khataman Nabiyyin pula ialah kesempurnaan din pada zaman Nabi Muhammad dan bukanlah penutup segala nabi.
c. Mencampuradukkan ajaran dalam al-Quran, Bible, dan Taurat (Perjanjian Lama).
Selain terjemahan al-Quran, kumpulan ini juga menggunakan kitab Taurat dan Injil (Bible Perjanjian Lama dan Baru) dalam pengajian mereka kerana dalam al-Quran telah membenarkan kitab sebelum al-Quran dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan.
d. Menyelewengkan konsep Sirat al-Mustaqim.
Maksud ‘Sirat al-Mustaqim’ dalam ajaran Millah Abraham merujuk kepada jalan yang benar, iaitu dengan mengambil pengajaran daripada kitab-kitab Allah dan melalui sejarah pada zaman Nabi Musa, Nabi ‘Isa, dan Nabi Muhammad. Oleh itu, hanya satu jalan sahaja yang perlu wujud untuk mengabdi kepada Tuhan, iaitu melalui ajaran Millah Abraham.
Pengikut ajaran Millah Abraham juga dikehendaki mempelajari kitab-kitab terdahulu sebagai sumber pelajaran kerana Sirat al-Mustaqim ada ciri-cirinya tersendiri dan perlu dipelajari melalui kitab-kitab Allah.
e. Menyelewengkan konsep Hari Kiamat.
Hari Kiamat dalam ajaran Millah Abraham merujuk kepada perkataan ‘qiyam’, iaitu bangkit atau tegak dan tidak mentafsirkan Hari Kiamat sebagai hari kehancuran, kerana Hari Kiamat hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. Perkataan ‘qiyam’ dalam ayat ini merujuk kepada keperluan untuk menegakkan agama. Setelah zaman satu-satu umat telah habis, maka akan ada rasul baharu yang akan menegakkan din bagi umat pada zaman tersebut. Sistem ini silih berganti sehingga keputusan Allah untuk menamatkan dunia ini.
f. Menyelewengkan pemahaman Darussalam atau Syurga.
Ajaran Millah Abraham berpegang bahawa Darussalam itu ada di atas muka bumi, iaitu ‘Dar’ = tempat atau kehidupan dan ‘al-salam’ = yang menyejahterakan atau damai sejahtera. Maka, Darussalam ialah simbol kepada model kehidupan yang damai sejahtera di atas muka bumi yang wujud apabila sistem Tuhan ditegakkan, iaitu melalui ajaran Millah Abraham.
g. Mengingkari kefarduan solat lima waktu dan solat Jumaat.
Pengikut ajaran Millah Abraham tidak melaksanakan solat fardu yang diwajibkan atas semua mukalaf. Mereka mengatakan solat itu merujuk kepada ‘silah’, iaitu hubungan dengan ajaran Millah. Makna lain ialah bersungguh-sungguh menegakkan din melalui Millah Abraham, bukan maksud solat yang dilakukan oleh orang Islam.
2. Sehubungan dengan itu, Muzakarah memutuskan bahawa ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.
3. Oleh yang demikian, orang Islam hendaklah menjauhi ajaran Millah Abraham @ Ibrahim dan dilarang daripada berpegang serta beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang telah berbaiah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT.
4. Semua bentuk pengajaran, penerbitan, dan pengedaran bahan-bahan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim melalui apa-apa jua medium hendaklah disekat, dihentikan, dan diharamkan dengan serta-merta.
Ketika masyarakat antarabangsa tidak bersimpati lagi terhadap Zionis dan sekutunya kerana kezaliman dan keganasan melampau di Palestin — namun mereka diselamatkan dengan kuasa veto Amerika Syarikat dan sekutunya daripada hukuman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan badan antarabangsa yang lain —, adakah wajar negara kita yang menjadikan Islam agama negara memberikan penghormatan kepada pemimpin yang nyata menjadi syaitan besar pada zaman kini?
Maka, reformasi yang dilakukan laksana kita menjadi kelekatu yang mengejar ke arah cahaya api yang menarik hawa nafsu tanpa peduli akan bangkai-bangkai kawanannya yang telah terbakar dimakan api. Berlaku sebagaimana yang diberikan amaran oleh Rasulullah SAW:
مَثَلِي وَمَثَلُكُمْ كَمَثَلِ رَجُلٍ أَوْقَدَ نَارًا، فَجَعَلَ الْجَنَادِبُ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهَا، وَهُوَ يَذُبُّهُنَّ عَنْهَا، وَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ عَنِ النَّارِ، وَأَنْتُمْ تَفَلَّتُونَ مِنْ يَدِي.
“Bandingan usahaku menyelamatkan kamu daripada terjerumus dalam kebinasaan laksana seseorang yang menyalakan api, lalu menyebabkan belalang dan serangga kecil jatuh membakar dirinya ke dalam api itu. Sedangkan orang itu menghalang semua binatang itu agar tidak jatuh ke dalam api tersebut. Dan aku menghalang kamu dengan memegang tali pinggang kamu (agar tidak terjerumus ke dalam Neraka), namun kamu tetap merentap tanganku (mahu terjun juga sehingga membinasakan diri kamu).” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Fada’il, no. 2285, daripada Jabir bin ‘Abdillah]
Disebabkan tergoda dengan tipu daya syaitan yang menarik hawa nafsu kebendaan yang banyak terkumpul dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia (World Bank) serta kekuatan bala tentera Amerika Syarikat dan sekutunya, maka politik, ekonomi, dan keselamatan berkiblat ke arahnya, walaupun solat dan hajinya menghadap Kaabah (kiblat di Makkah). Inilah langkah kalangan yang terpengaruh dengan sekularisme yang memisahkan urusan dunia daripada petunjuk agama.
Rasulullah SAW mengingatkan para sahabatnya dengan firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Rasulullah SAW menyebut ayat di atas setelah melakarkan garisan yang lurus di atas tanah dan menggariskan beberapa cabang di sebelah-menyebelahnya sambil bersabda:
هَذَا السَّبِيلُ، وَهَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ.
“Bahawa jalan yang lurus hanya satu ini sahaja, adapun cabang-cabangnya adalah kesesatan. Di setiap cabang ini ada syaitan yang menggoda.” [Hadis riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, no. 11109 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 4142, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud. Lafaz bagi al-Nasa’i]
Kerajaan Malaysia Madani PH mengundang syaitan besar menjadi tetamu negara disebabkan tergoda dengan lagak takburnya yang menjadi sifat Iblis dan mahu menjadi kuasa besar tunggal yang menguasai dunia seluruhnya.
Kita saksikan betapa negara Venezuela yang kecil dan berjiran berhampiran dengan Amerika Syarikat yang dipimpin oleh Presiden Nicolás Maduro, seorang bekas pemandu bas ekspres lebih bermaruah dan gagah berani mempertahankan maruah dan kedaulatan negaranya, dalam menghadapi ancaman Amerika Syarikat yang sedang mengerahkan bala tentera bertujuan mengepung dan mengancam untuk menyerang negaranya yang kecil kerana mahu merampas hasil Venezuela.
Bandingkan dengan pemimpin negara kita yang dikatakan oleh pengikutnya, “Inilah tokoh besar yang berwibawa”, dengan berdegar-degar melaungkan teriakan “Reformasi!” yang berkumandang di udara, diikuti oleh makmumnya yang tetap setia walau dibawa ke mana-mana saja wawasannya.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi ucapan Rub‘i bin ‘Amir RA, seorang panglima kecil Islam dalam kalangan sahabat yang diutus untuk menemui Rustum, seorang panglima besar kuasa besar Parsi pada zaman itu:
اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، فَأَرْسَلَنَا بِدِينِهِ إِلَى خَلْقِهِ لِنَدْعُوَهُمْ إِلَيْهِ.
“Allah mengutus kami untuk menyelamatkan sesiapa yang mahu supaya membebaskan diri daripada menyembah sesama hamba-hamba Allah kepada menyembah Allah sahaja, keluar daripada wawasan dunia yang sempit kepada wawasan yang luas (dunia hingga akhirat), dan daripada kezaliman berbagai-bagai ajaran kepada Islam yang adil kepada semua. Maka, kami diutus untuk membawa al-din (Islam yang sempurna) kepada semua.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 7, hlm. 39]
Kehebatan Islam yang adil bersama rahmat Allah dalam sejarahnya berjaya menjatuhkan kuasa besar pada zaman masing-masing.
Maka, Islam kini menjadi sasaran kuasa besar yang zalim. Percayalah bahawa kezaliman menjadi sebab kejatuhan kuasa besar terdahulu ketika menghadapi Islam yang adil, walaupun mereka paling kaya hartanya dan paling kuat bala tenteranya.
Ulangilah firman Allah SWT:
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ٢٦
“Katakanlah, ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki! Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Dalam Tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.’” [Surah Ali ‘Imran: 26]
Sepatutnya Malaysia mengutamakan hubungan dengan negara sahabat dalam kalangan negara Islam yang beristiqamah, negara jiran, dan kuasa besar yang tidak berfahaman penjajah, bukan negara yang nyata zalim dan melampaunya dan beragenda melakukan kekacauan atau penjajahan.
Selamatkanlah negara daripada bencana reformasi yang menyesatkan dan merosakkan.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Jumada al-Akhirah 1447 / 16 Disember 2025
[Bil: 87 / 2025]




























