Rasuah Bukan Isu Sampingan, Ancaman Hidup Mati Masa Depan Negara

223
Ustazah Sumaiyah Zakaria

KUALA TERENGGANU – Rasuah bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya merupakan ancaman besar yang boleh merosakkan keadilan sosial, menindas rakyat dan menggugat masa depan negara jika dibiarkan berleluasa.

Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, penyelewengan wang awam akibat rasuah bukan sahaja berpunca daripada kelemahan individu, malah mencerminkan kegagalan sistem dan kepimpinan yang tidak berfungsi dengan telus serta berintegriti.

Katanya, kegagalan sistem pemantauan, penguatkuasaan yang lemah dan proses pentadbiran yang tidak telus telah membuka ruang kepada pemimpin tidak amanah untuk menyalahgunakan kuasa.

Sekali gus katanya, ia menyebabkan rakyat menjadi mangsa apabila bantuan, kemudahan asas dan projek awam gagal disampaikan dengan berkesan.

“Hal ini sekaligus menyokong para pemimpin yang tidak berintegriti, mengambil kesempatan untuk terus bebas melakukan salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Hasilnya, rakyat yang sepatutnya menerima manfaat berupa bantuan, kemudahan dan sebagainya terkesan serta menjadi mangsa.

“Pemimpin yang dipilih untuk memimpin tadbir seolah mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat. Secara tidak langsung, ianya semakin melebarkan jurang kaya-miskin,” jelasnya.ketika dihubungi hari ini.

Sumaiyah turut menegaskan, ketidakadilan dalam pelaksanaan undang-undang apabila golongan berpengaruh terlepas daripada hukuman, sedangkan rakyat biasa dihukum dengan pantas, telah mencetuskan krisis kepercayaan terhadap sistem keadilan negara.

Keadaan ini, menurutnya, memberi kesan besar kepada anak muda apabila merit diketepikan dan amalan ‘kabel’ diangkat, sehingga mendorong sebahagian mereka bersikap sinis terhadap politik dan memilih berhijrah ke luar negara.

“Penting untuk anak muda mengetahui keadaan semasa yang sedang berlaku di dalam negara, agar perkara ini dapat diatasi bersama,” katanya.

Semua pihak perlu berperanan, bersuara di peringkat masing-masing kerana masa depan negara adalah tanggungjawab bersama.

“Jika hari ini, kita melihat berlaku kerakusan pemimpin menyalah gunakan kuasa dan membuat penyelewengan dalam mentadbir urus negara, jangan memilih untuk lari berhijrah ke luar negara tetapi jadilah rakyat yang cintakan negara.

“Tugas kita adalah menjaga negara, di mana bumi kita berpijak. Jangan sesekali hilang harapan, negara kita perlu diselamatkan bersama.

“Masih ada jalan, ayuh bina kesedaran. Besarnya peranan anak muda, buatlah pilihan yang bijak. Terus cakna kepada hal ehwal semasa, melibatkan masa depan negara. Mainkan peranan kita sebagai anak muda yang bijak, pelapis dan pewaris kepada kepimpinan masa depan negara,” tegasnya.

Mengulas dari sudut Islam, beliau menegaskan bahawa rasuah bukan sahaja kesalahan undang-undang, bahkan perbuatan yang ditegah dan dilaknat agama kerana mengkhianati amanah kepimpinan serta mengancam nyawa dan kesejahteraan rakyat.

“Rasuah sememangnya bukan isu sampingan. Ianya bukan sahaja suatu kesalahan dalam undang-undang bernegara, bahkan turut ditegah dalam Islam. Menjadi kewajipan bagi negara Islam untuk bebas rasuah, dalam pentadbiran dan undang-undang negara.

Justeru itu, para pemimpin disyaratkan amanah, berintegriti, dan bebas rasuah.

“Isu rasuah tidak boleh dipandang ringan, kerana kesan dan impaknya boleh menjejaskan kepercayaan rakyat kepada pemimpin selain mengganggu gugat keamanan serta kesejahteraan rakyat.

“Jika ianya dibiarkan berterusan, tanpa kawalan dan penguatkuasaan yang serius, ianya boleh mengancam nyawa rakyat yang menanggung akibat,” tambah Sumaiyah lagi.