Puteri Saudi bebas dari tuduhan pemerdagangan manusia

603

Dakwaan pemerdagangan manusia ke atas seorang puteri Arab Saudi, yang dituduh mengurung pembantu rumah Kenya sebagai orang tawanan dalam rumahnya di California telah digugurkan oleh seorang hakim semalam, selepas pihak pendakwaan berkata mereka tidak dapat menyokong dakwaan itu.

Puteri berusia 42 tahun itu, Meshael Alayban, tersenyum lebar sedang beliau keluar dari bilik sebuah mahkamah Santa Ana, apabila hakim membatalkan ikat jaminnya bernilai AS$5 juta ($6.2 juta), memulangkan semula pasportnya dan mengarahkan agar satu alat pemantau elektronik padanya dilepaskan.

Alayban telah dituduh membawa pihak yang menuduhnya masuk ke Amerika Syarikat pada Mei lalu, merampas pasport wanita utu dan membayarnya AS$220 sebulan untuk bekerja selama 16 jam sehari, tujuh hari seminggu, dalam apa yang disifatkan oleh pihak pendakwaan tinggi wilayah Orange County sebagai satu perhambaan.

Bagaimanapun, semasa prosiding mahkamah selama lima minit bagi Alayban menghadapi tuduhan itu, Pendakwa Raya (DA) Tony Rackauckas memberitahu hakim bahawa “dakwaan itu tidak dapat disokong, pihak awam memutuskan untuk memnggugurkan”.

Hakim bersetuju, dan peguam pembela, Encik Paul Meyer, pun berkata: “Bagi pihak mahkamah dan negara Arab Saudi, kami berterima kasih kepada pihak DA, kerana menjadi seorang yang berintegriti.”

Alayban, yang juga isteri Putera Abdulrahman bin Nasser bin Abdulaziz al Saud, ditahan pada Julai lalu di apartmennya dalam kawasan subbandr Irvine, di bahagian tenggara Los Angeles, dan didakwa dengan tuduhan pemerdagangan manusia.

Selepas perbicaraan semalam, Encik Rackauckas berkata bukti daripada siasatannya menunjukkan bahawa “pihak mangsa sebenarnya bukan seorang mangsa”, sambil menambah bahawa, berbeza daripada keterangannya, pihak penuduh bebas untuk datang dan pergi serta menerima jagaan perubatan yang diperlukannya. – Reuters.