Reka bentuk itu, sesetengahnya disiarkan dalam laman projek berkenaan minggu ini, adalah lakaran awal.
Bagaimanapun projek itu dijangka mencerminkan hasrat pasukan pembangunannya untuk membina sesuatu yang bercorak kosmopolitan dan ‘segar’, berdekatan bekas tapak sasaran serangan pengganas pada 11 September 2001 itu.
‘Saya tidak fikir apabila bangunan ini dibina, ada sesiapa yang akan berpiket,’ kata Encik Sharif El-Gamal, pemaju projek tersebut.
Upacara memecah tanah bagi pembinaan pusat berkenaan mungkin dua atau tiga tahun mendatang, ‘atau diharapkan lebih segera diadakan’, kata Encik El-Gamal kepada agensi berita The Associated Press (AP).
Bahagian terbesar bangunan itu – empat daripada 16 tingkatnya – akan memuatkan antaranya pusat sukan dan pusat kesihatan.
Satu lagi tingkat akan menempatkan sebuah pusat tajaka dan taman permainan.
Kebanyakan ruang di bangunan tersebut akan memuatkan restoran, sekolah memasak, studio artis, ruang pameran dan sebuah auditorium bagi acara-acara kebudayaan.
Ruang solat di bangunan itu – bahagian pusat berkenaan yang telah mencetuskan kritikan hingga menimbulkan gelaran pusat itu sebagai ‘masjid mega bekas tapak letupan’ – akan ditempatkan pada dua tingkat di bahagian bawah tanah bangunan tersebut.
Tingkat 12 bangunan itu pula akan memuatkan sebuah tempat bagi acara peringatan dan kawasan perlindungan bagi pemeluk pelbagai agama. — AP.