Puasa, Mogok Lapar Minta Perkenan Bubar DUN

859

“Kami mahu menyampaikan mesej ini dengan jelas bahawa kerajaan bukan ditentukan oleh mahkamah, sebaliknya ditentukan rakyat sendiri menerusi jalan terbaik iaitu pilihan raya,” kata bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) menyeru rakyat Islam di negeri ini untuk berpuasa sunat manakala bukan Islam pula akan mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis ini bertujuan mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya DUN dibubarkan.

“Mana-mana kerajaan di dunia ditentukan oleh rakyat dan tindakan turun naik mahkamah adalah semata-mata untuk menghormati undang-undang negara.

“Itu tidak bermakna mahkamah yang akan menentukan kerajaan. Kerajaan akan ditentukan melalui suara dan juga hak rakyat. Justeru kuasa untuk memilih sesebuah kerajaan harus diserahkan kepada rakyat.

“Sehubungan itu, kita akan terus mengadakan tindakan berpuasa dan mogok lapar sehingga mendapat perkenan sultan,” katanya dalam sidang media di Konvensyen Pas Perak ke-14 di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di sini, semalam – HMetro