Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), dan Parti Sosialis Malaysia (PSM)
PN diwakili Pengerusi PN Tapah Ustaz Abd Muhaimin Malek, 44, BN Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, sementara PSM meletakkan Timbalan Setiausaha Agung PSM Bawani KS, 40.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Redhauddin Ahmad Shokori mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.23 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Merdeka di sini ditutup pada 10 pagi
Ustaz Abd Muhaimin menyerahkan borang pencalonan pada 9.01 pagi, diikuti Mohamad Yusri pada 9.06 pagi.
Pemimpin dan para penyokong parti dilihat mula berkumpul seawal 7 pagi bagi memberikan sokongan moral kepada bakal calon masing-masing.
Abd Muhaimin pula hadir bersama rombongan termasuk Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.