Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Sehari dua ini terma Majlis Syura Ulama (MSU), Mursyidul Am serta Presiden PAS dibincangkan secara terbuka dialam maya serta media arus perdana . Penulis melihat dengan tatapan positif peri pentingnya PAS dalam politico dakwah negara ini,segalanya memancing pesona!. Avatar politik yang bersaing dengan PAS mungkin melihat peluang untuk meruntuhkan wibawa PAS dengan memainkan isu ini , namun ianya akan membuka ruang awam untuk mengkaji seterusnya meminati perjuangan PAS sebagai parti masa depan negara ini .
Penulis berbeda pandangan dengan Dr Zuhdi Marzuki berkaitan isu Amir jamaah. Dengan wewenang kuasa, atau kuasa eksekutif yang diberikan dalam Perlembagaan PAS, Presiden PAS selaku Amir Jemaah memimpin parti melalui mesyuarat kolektif bersama dengan Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama PAS . Presiden PAS bersama jawatankuasa kerja PAS Pusat bertanggungjawab melaksanakan dasar yang diperjuangkan oleh PAS secara berstrategi, terancang serta terikat dengan tanzim.
Perjawatan Presiden PAS adalah dilantik melalui Muktamar PAS Pusat setiap dua tahun sekali. Muktamar PAS Pusat ialah syura tertinggi harakatul ummah ini yang menghimpunkan seluruh perwakilan PAS daripada seluruh negara . Perjawatan jawatan Mursyidul Am PAS pula dilantik melalui proses syura dalam Majlis Syura Ulama dengan peranannya sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS pada Fasa 9 (1) (a) (b) dan ( c). Tempoh penggal perjawatan ini ialah setiap lima tahun sekali.
Ramai sarjana Sains Politik meletakkan kekuatan PAS adalah kerana dipandu oleh alim ulama serta dasarnya yang kukuh. Pimpinan boleh datang dan juga pergi meninggalkan bahtera PAS namun harakatul ummah ini terus bergerak. Presiden PAS mentarjih perjalanan PAS selaku amir jemaah Islam, sebab itulah Ucapan Dasar Presiden dibentangkan setiap kali Muktamar PAS Pusat. Untuk membumikan pengoperasian PAS dimedan siasah,dakwah dan tarbiah maka akar umbi PAS mengadakan munaqasyah Ucapan Dasar Presiden. ( Tiada Ucapan Dasar Mursyidul Am) . Ucapan Dasar itulah menjadi pemacu gerakan, barometer serta indeks piawaian yang hendak dicapai dalam tempoh setahun.
Tanpa merendahkan rasa hormat serta sakral pada Mursyidul Am, Majlis Syura Ulama dimana dalam bahtera besar gerakan Islam PAS ini, Majlis Syura Ulama merupakan pancang perjuangan, badan terpenting, malah membezakan PAS dengan Parti-parti serta NGO-NGO yang lain . Media sosial digunakan semaksima mungkin untuk mengikis penghormatan kepada PAS serta mencederakan wibawa ulama PAS samada Presiden, Mursyidul Am serta Ahli MSU.
PAS dikawal perjalanannya oleh Majlis Syura ulama, sebuah badan yang yang tercetus daripada usul Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamar PAS pada 22 Oktober 1982, seiring dengan transformasi yang berlaku dalam kepimpinan PAS dizaman kebangkitan semula Islam. Badan ini menjadi ‘vanguard’ yang berautoriti dan mesti dilihat “bersih” para pengawalnya, tidak bias dalam entiti penting jemaah Islam ini.
Apakah fungsi dan peranan MSU? Peranannya jelas, iaitu Majlis Syura Ulamak berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS di mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan PAS yang hendak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan ini dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasai serta memelihara dasar supaya dasar dan ketetapan serta kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.
Bagi mengesahkan kepimpinan ulamak di peringkat PAS Pusat maka pindaan Perlembagaan PAS dibuat dalam Muktamar Tahunan Agung PAS Pusat yang ke-29 pada 29 April 1983 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS bagi menubuhkan Majlis Syura Ulamak. Pindaan ini kemudian diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 18 Mac 1987 bagi membolehkan seorang Mursyidul Am dilantik (Perlembagaan PAS, Fasal 7, 1987:4-9) dan Ustaz Haji Yusuf Rawa dilantik sebagai al-Mursyidul Am PAS pertama pada Nov 1987. Uniknya beliau juga adalah Presiden PAS saat itu.
Majlis Syura Ulama berfungsi sebagai badan yang memantau dan mengawal agar perjuangan parti terus selari dengan syariat Islam, tidak bercanggah dengan syarak, dengan erti kata lain, PAS terpandu dengan pedoman Islam. Ustaz Haji Yusuf Rawa menegaskan penubuhan Majlis Syura Ulama ini adalah untuk mengembalikan peranan ulamak sebagai pemimpin ummah dan segala dasar, segala keputusan parti akan sentiasa berpaut kepada ajaran Islam dan tidak akan keluar daripada panduan dan bimbingan mereka (Yusuf Rawa, 1987:18)
Tiada persaingan kuasa antara Presiden , Mursyidul Am serta Ahli Majlis Syura Ulama. Ironinya , pengkritik ‘palatao’ netizen ada yang tidak tahu siapakah yang mengganggotai ahli MSU PAS. Hubungan simbiosis inilah yang akan menggerakkan kekuatan PAS bagi merengkuh sokongan massa. PAS akan sentiasa terpandu dengan orientasi kepimpinan yang dirangka ini. Teruskan memimpin ummah dimedan siasah!
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)






























