Politik ‘Desperado’ Umno di Bulan Ramadhan

758

http://buletinonline.net/images/stories/berita32/drmujahid.JPGRamadan adalah bulan yang sepatutnya semua pihak yang berpuasa mengambil peluang untuk muhasabah diri dari segala sifat-sifat keji yang boleh merosakkan diri seseorang. Puasa menuntut umat Islam menghayati erti ketaqwaan lalu cuba untuk menghayati segala makna ketaqwaan yang diajar oleh agama kita. Namun dalam melihat semua ini, nampaknya ada sesuatu yang tidak pernah “berpuasa” walaupun pada bulan Ramadan.

Isu politik nampaknya terus mendapat perhatian akhbar dan media malah semasa umat Islam berpuasa isu politik terus menjadi bahan panas yang diputarbelitkan oleh pencacai-pencacai politik yang tak sabar-sabar menunggu selepas Ramadan untuk menjalankan tugas karut mereka. Merekalah tukang karut yang tak pernah pencen-pencen walaupun berpuasa.

Saya menjangkakan setelah 10 hari berpuasa suasana politik di negara ini dapat dikawal daripada menjadi bahan dan publisiti murahan pihak penyangak-penyangak politik, tetapi malangnya jangkaan saya meleset kerana tiba-tiba isu khutbah meletup di Penang.

Pagi hari lagi saya dihubungi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang minta hadir mesyuarat Pakatan dan sekaligus membuat PC tentang isu nama Lim Guan Eng diganti dengan doa Raja dalam khutbah Jumaat ke dua. Saya sudah pun mengikuti perkembangan berita itu sebelumnya, namun dah bercakap dengan Guan Eng sendiri saya pun bertanya apa cerita nama YAB diganti pulak dengan nama Yang di-Pertuan Agong?

YAB KM Pulau Pinang itu pun menjawab :”Ayyaa, YB ni fitnah mau kasi orang Melayu marah sama saya dan marah sama PAS juga, kita kena berhati-hati, mereka ini sudah desperate!” Saya pun menegaskan bahawa PAS sudah mengetahui ini fitnah dan saya sebagai khatib juga memang tak boleh terima dakwaan doa Raja dan TYT diganti dengan doa kesejahteraan untuk Guan Eng. Pada penghujung perberbualan ringkas kami, saya pun berkata pada Guan Eng: “Tak pa YAB, ini isu Umno memang nampak sudah hilang arah, kita mesti kasi satu PC kuat punya kasi tarok sama ini fitnah.”

Sekejap kemudian YB Malik Kasim hantar SMS, minta saya datang ke Komtar untuk buat PC bersama di tingkat 28. Saya terpaksa menangguh ke tengahari perjalanan ke KL pagi itu kerana SMS itu katanya penting. Isteri saya semacam sudah tahu raut wajah saya bila membaca SMS itu bertanya: “Kena pi Penang ka?” saya jawab mengangguk aja kerana kepala saya berfikir program di KL nanti dan apa nak cakap masa PC.

PC pagi itu ramai wartawan yang hadir tidak kurang dari Berita Harian dan Utusan. YB Malik sempat bisik kat saya “Utusan pun mai, depa nilah dok buat fitnah kuat”, saya senyum sambil mata liar mencari mana satu wartawan Utusan ini. Saya kesian kat wartawan Utusan dan Berita Harian, kejar sana-sini tapi berita sampai kat editor entah apa jadinya pemberitaan asal, namun bengang jugak kadang-kadang cara mereka bertanya seolah nak buat perangkap dalam kenyataan yang dibuat.

YB Datuk Dr Mansor TKM 1 pun hadir dan dia memulakan PC dengan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menganggap ia satu fitnah yang mahu mencemarkan nama baik Kerajaan Pakatan negeri PP di bawah KM Lim Guan Eng. Mansur mengalih isu dengan menggambarkan betapa kalutnya Umno apabila melihat usaha untuk memartabatkan nasib Melayu Pulau Pinang oleh Pakatan memperlihatkan satu perkembangan yang positif, jadi kerana tidak ada isu, Umno mengalih pandangan kepada isu khutbah!

YB Malik pula sebagai exco agama menyebut tidak ada arahan resmi dalam teks khutbah atau kepada khatib untuk doa kesejahteraan kepada Guan Eng, satu fitnah yang berniat jahat!

Saya mewakili PAS dalam PC itu menyatakan kesal saya kepada keadaan yang ada khususnya ia berlaku pada bulan Ramadan Al Mubarak. Saya turut kesal isu khutbah ini mengheret Raja dan TYT dengan niat menimbulkan kebencian dan kemarahan orang Melayu kepada kerajaan Pakatan di Penang. Saya menyebut bahawa pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik perkauman yang sempit sanggup buat apa sahaja asalkan matlamat mereka tercapai. Saya memberi amaran kalau kumpulan ini berasa mereka sudah nazak sehingga sanggup guna isu ini, berundurlah daripada memimpin orang Melayu kerana PAS menawarkan kepimpinan Melayu yang lebih baik kepada orang Pulau Pinang.

Salah seorang pemberita dalam sesi soal jawab bertanya “Adakah kerajaan negeri menuduh Umno melakukan ini sedangkan ada bukti khatib tersebut menyebut dengan jelas dan ada saksi malah telah dibuat laporan polis. Kami mengatakan jikalau benar ada dakwaan kami nak tahu apa dakwaan itu, siapa yang didakwa dan atas apa dia didakwa dan jika ada kes minta pihak polis meneruskan siasatan dan khatib terbabit jika sabit kesalahan hendaklah diambil tindakan.”

Namun mengheret Guan Eng dan seluruh kerajaan Pakatan adalah isu lain yang mempunyai niat jahat memfitnah kami! Tajuk berita sudah cukup menggambarkan “twisted fact” yang disengajakan, walaupun isu doa kepada bukan Islam dalam khutbah boleh diperdebatkan, namun mengatakan doa itu sebagai ganti doa Raja dan TYT adalah sesuatu yang melampau dan biadap!

Semasa artikel ini ditulis, khatib tersebut Ustaz Zakaria Ahmad mengaku bahawa dia telah menyebut doa supaya Allah beri Hidayah Islam kepada KM Pulau Pinang itu. Dia turut mengatakan bahawa dia bukan jahil tentang hukum itu,cuma katanya mungkin tempat disebutnya tidak sesuai. Malah hari ini terpampang berita khatib ini akan menyaman media kerana memfitnah beliau. Isu ini menyerlahkan lagi betapa terdesaknya Umno sanggup melacurkan media mereka pada bulan Ramadan yang mulia untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu.

Melihat gelagat Umno yang tenggelam punca dan hilang pedoman pada saat orang Melayu pun dah mula bangkit dari lena panjang mereka bersama Umno, kita gelihati dan tertawa sendiri melihat perangai Umno, ia juga meyakinkan lagi kami dari PAS bahawa orang Melayu macam ini sukar nak dijadikan rakan apatah lagi nak bersatu dengan mereka.

Kalau Ramadan pun mereka tidak hormati dengan menyebar fitnah dan sanggup menipu apa maknanya Umno berpuasa?

Nabi bersabda: “Seseorang Muslim itu mungkin mencuri atau berzina tetapi seorang Muslim tidak mungkin berbohong!”

Amatilah hadis ini dalam konteks isu khutbah di Penang, fikirlah sendiri, Umno begitu terdesak, Umno lupa bulan ini bulan Ramadan, tolonglah jaga puasa sikit…