Pilihan Raya PBT Tidak Sesuai

115

KUALA TERENGGANU – Cadangan untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu atau mana-mana negeri lain dianggap tidak sesuai dan berisiko menjejaskan kestabilan pentadbiran.

Menurut Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau tidak bersetuju cadangan pilihan raya PBT dilaksanakan. Beliau menjelaskan bahawa pilihan raya PBT telah dimansuhkan selepas rusuhan kaum 1969.

Katanya, sebarang usaha untuk memperkenalkannya semula bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, walaupun beberapa negeri pernah menggubal enakmen untuk tujuan tersebut.

Beliau menekankan bahawa fokus bukan sekadar pada pelaksanaan pilihan raya, tetapi juga kestabilan masyarakat dan kelancaran pentadbiran kerajaan.

“jadi pada saya bukan sekadar kita melihat pilihan raya semata-mata, kena tengok dari segi keseimbangan stabiliti kedudukan masyarakat yang ada di samping apa akan jadi apabila berlaku perbezaan di antara PBT dengan kerajaan negeri.

“Jadi tentulah akan berlaku banyak berlaku politiking dan sebagainya yang tidak yang akan menjejaskan kelancaran pentadbiran sesebuah kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MOA Yayasan Terengganu bersama Batik Air, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa model pilihan raya di negara maju tidak boleh diterapkan begitu sahaja di Malaysia.

“Jadi saya faham bahawa mereka ni melihat model-model di negara-negara maju yang yang tak boleh dilihat dalam satu-satu aspek sahaja, kita kena tengok secara keseluruhan.

“Apa yang diamalkan sedia ada di Malaysia hari ini, kita tambah baik itulah. Itu sahaja. Apa jauh kelemahan yang sedia ada tanpa pilihanraya PBT itu, kita tambah baik,” ujarnya.

Beliau menekankan bahawa pendekatan penambahbaikan sistem sedia ada lebih bermakna dan memberi kebaikan, berbanding memperkenalkan sesuatu yang baru seperti pilihan raya PBT yang berpotensi menimbulkan ketegangan politik.

“Saya rasa itu lebih bermakna daripada mengadakan satu perkara baru yang akan memberi kesan kestabilan yang tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa,” tambah beliau lagi.