Pilihan Raya PBT, Datuk Bandar Dan Polarisasi Kaun

126
Dr. Ustaz Riduan Mohamad Nor

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Apabila meledak isu penguasaan Dap dibandar bandar utama Pantai Barat, mengheret kepada isu keseriusan Dap untuk melaksanakan pilihanraya Kerajaan Tempatan dan terkini cubaan untuk pilihanraya datuk bandar Kuala Lumpur
. Sekitar tahun 2013, saat penulis mula menggalang amanah sebagai AJK PAS Pusat, berlaku perbahasan hangat dalam mesyuarat Pusat berkaitan isu pilihanraya PBT. Tuan Guru Presiden PAS diserang kuat oleh pemimpin Dap dalam isu pilihanraya PBT kerana Ayah Chik menolak dengan tegas Pilihanraya PBT yang dicadangkan oleh Dap. Idea Dap pula disambut oleh beberapa orang pemimpin PAS Pusat yang sangat menginspirasikan Dap yang akhirnya mereka keluar daripada PAS pada tahun 2015 untuk menubuhkan PAN.

Mereka berhujjah bahawa gerakan Islam juga berpotensi untuk memenangi pilihanraya PBT, contohnya seperti mana yang berlaku di Algeria dan Turki. AKP di Turki serta Front Islamic Salvation di Algeria pernah menang bergaya dalam pilihanraya bandaran. Saya menghela nafas panjang dengan artikulasi berikut sedangkan demografi Malaysia, Algeria dan Turki adalah sangat berbeda. Malaysia dalam sejarahnya diacuankan oleh dasar British , mereka mengubah demografi tanah leluhur ini dengan cara membawa masuk imigran untuk menggerakkan ekonomi komersil. Migran daripada Tanah Besar China dibawa masuk melalui sistem tiket dan sistem Kangchu, manakala migran India dibawa masuk melalui sistem Kanggani dan sistem tiket.

Etnik Cina dilonggokkan dikawasan bijih timah dimana kawasan ini berkembang menjadi bandar bandar dengan Inggeris yang melaksanakan konsep ” the white man burden”. Mobiliti sosial berlaku kepada etnik Cina yang menghuni kawasan bandar apabila kemudahan awam dibina dengan pesat terutama aspek pendidikan . Nasib sejarah negara ini seolah ditoreh luka komunal apabila jurang antara kaum berlaku dengan isu pendudukan Jepun,ancaman komunisme seterusnya tragedi 13 Mei 1969.

Ibu Kota Adalah simbol naratif Kuasa. Jatuhnya kota Melaka pada 1511 kepada Portugis membawa naratif sejarah, jatuhnya Empayar Melaka. Lihat juga PRU 1969, apabila PERIKATAN hilang majoriti dua pertiga, malah kerusi kerusi Kuala Lumpur tidak dimenangi oleh mereka. Secara implisitnya, PERIKATAN roboh kekuatannya dalam politik negara ,seterusnya membawa kepada penubuhan kerajaan campuran diawal dekad 1970 an. Naratif menguasai ibukota bermaksud menguasai negara inilah yang membawa kepada perbincangan belakang tabir dua parti politik Melayu untuk mengubah demografi Kuala Lumpur.

Setinggan Melayu mula menjadi fenomenal pasca 13 Mei. Tanah tanah kerajaan mula dirintis peneroka bandar di kawasan Lembah Pantai, Batu, Titiwangsa, Shah Alam, Petaling Jaya, Kepong, Cheras dan lain lain kawasan bandar dan sub bandar.
Implikasi mesej politik dapat disampaikan selepas itu selama puluhan tahun selepas itu setiap kali pilihanraya .

Cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur (PRDBKL) atau juga keghairahan Dap untuk mengadakan Pilihanraya PBT, tidak boleh dibaca sebagai eksperimen demokrasi semata-mata. Bodohlah umat Melayu jika tak mampu mengartikulasi hasrat Dap itu, malah meletakkan nasib mereka yang tak menentu untuk dekad dekad yang mendatang jika koalisi PHBN terus berkuasa di negara ini. Jika Pilihanraya ini diadakan maka Kuala Lumpur
akan menjadi wilayah kuasa elektoral, bukan pentadbiran semata mata sebagaimana hari ini.

Pilihanraya PBT atau Pilihanraya untuk memilih Datuk Bandar bukan sekadar soal kaedah memilih pemimpin tempatan. Malah , ianya perlu dilihat serta dibimbangi sebagai peralihan struktur kuasa dalam sistem kenegaraan negara ini. Lebih jauh lagi ianya membawa kepada impak serius terhadap keseimbangan perlembagaan, kedudukan sosio politik dan ekonomi orang Melayu secara makro. Legitimasi kuasa bandar juga akan mengheret kekacauan hubungan antara Persekutuan, negeri serta kerajaan tempatan.

Sejujurnya, orang Melayu berisiko kehilangan kawalan politik serta wewenang pentadbiran, termasuklah dalam kek ekonomi. Antaranya seperti kehilangan peluang serta ruang strategik berkaitan dengan agihan lesen perniagaan , permit niaga, konsesi, kuasa tanah dan kelulusan pelbagai wewenang , melalui pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur atau juga kota besar yang lain.

Umat Melayu, jangan tidur atau terus merasa selesa dengan regim ini. Tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan atau Pilihanraya untuk memilih Datuk Bandar Kuala Lumpur. Wajib cadangan ini dibantah dengan sekeras kerasnya demi mempertahankan kerukunan kaum, legitimasi tuan tanah yang semakin dirobek , juga keseimbangan perlembagaan negara, keseimbangan struktur dalam pentadbiran sebagaimana kita saksikan ketempangan mula berlaku apabila Ahli Parlimen – Ahli Parlimen dalam Wilayah Persekutuan mula diberi peranan aktif dalam pentadbiran.

( penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)