Peserta ‘RTB Terkilan’ Dapat Pembelaan

120

Peserta ‘RTB Terkilan’ Dapat Pembelaan

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Para peserta ‘Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan’ menzahirkan sukacita dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang bekerja keras membela nasib mereka, sehingga kembali mendapat hak yang dinafikan sekian lama.

Seorang peserta, Zaleha Deraman, bersyukur ketika menerima dokumen tanah tersebut, walaupun di lokasi berbeza.

“Saya rasa sangat kerajaan PAS betul-betul membela nasib kami… walaupun tanah yang dahulu di Kampung Padang Pulut itu ‘molek’ depan sekolah,

“tetapi Allah rezekikan saya tanah di Batu Putih, saya tetap gembira setelah 22 tahun berlalu,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit Merah, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Borang 5A Tanah Tapak Rumah oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Al-Husna, Markas Tarbiah Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini pada Sabtu, 27 Mac

Program turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, seramai 45 orang peserta tanah terkilan serta 292 penduduk setempat .

Sementara itu di dalam ucapannya, Cikgu Alias berkata memandangkan tempat tinggal menjadi keperluan maka pihaknya berbincang dengan pihak berwajib untuk menukarkan status tanah kepada tanah tapak rumah.

“Jadi bila sudah menerima Borang 5A ini, cuba sedaya upaya menyelesaikan bayaran premium seberapa segera untuk mengelakkan kesulitan yang akan berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima awam, Ridhuan Said Ludin, 35, turut bersyukur kerana terpilih menerima satu lot tanah tapak rumah, bukti sesungguhnya kerajaan PAS Terengganu mengotakan janji manifesto PRU14 yang lepas.

“Allhamdulillah..terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu di atas kejayaan melaksanakan manifesto PRU14 yang lalu iaitu satu lot tapak tanah bagi setiap rakyat yang berumur 21 tahun ke atas,” katanya.