Pertikaian dengan Mesir Akibat Gaza Kekuranga Minyak

639
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita7/Gaza.jpg

Perkhidmatan perubatan kecemasan di Gaza mengurangkan jumlah ambulans yang beroperasi dan sekurang-kurangnya sebuah hospital membatalkan pembedahan kurang penting bagi menjimatkan tenaga.

‘Kami kini berdepan masalah kekurangan dan catuan minyak. Keadaan kini sama seperti kembali ke zaman batu,’ kata seorang pelajar universiti, Encik Abed Mohammed, 21 tahun.

Bulan lalu Mesir mula menghentikan bekalan minyak secara tidak sah ke Gaza melalui terowong bawah tanah.

Satu-satunya loji tenaga di Gaza turut kehabisan minyak sekali gus menjejaskan dua pertiga kawasan wilayah Palestin yang dihuni 1.7 juta penduduk.

[ KURANG BEKALAN: Penduduk Palestin berbaris bagi membeli petrol di sebuah kedai minyak di Khan Younis, selatan Gaza. — Foto REUTERS]

Mesir bertegas mahu menghantar minyak hanya melalui sempadannya di Kerem Shalom yang dikawal Israel. Ia turut mengehadkan penggunaan terminal Rafah di sempadannya dengan Gaza hanya bagi pergerakan manusia.

Hamas menolak keputusan itu kerana ia akan memberi peluang kepada Israel menyekat bekalan ketika berlaku ketegangan. Ia mahu berdagang secara langsung dengan Mesir, langkah yang bakal menguatkan ekonomi Gaza dan populariti Hamas.

Namun, hubungan dingin antara Mesir dengan Hamas yang memerintah Jaluran Gaza memarakkan lagi krisis itu.

Beberapa sumber Hamas berkata Mesir sengaja mencetuskan krisis minyak ini bagi mendesak ia melaksana perjanjian penyatuan dengan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, yang mendapat sokongan Barat.

Timbalan Perdana Menteri Jaluran Gaza, Encik Mohammed Awad, berkata krisis ini bermotifkan politik dan Hamas akan ‘menyelesaikannya’.

Keadaan reda sedikit Jumaat lalu apabila sekitar 450,000 liter minyak dibenarkan Israel dibekal ke Jaluran Gaza kelmarin melalui Kerem Shalom.

Kekurangan minyak turut berlaku di Mesir, dengan pihak berkuasa menyalahkan mereka yang menjual semula minyak bersubsidi di pasaran gelap.

‘Saya biasanya mendapat 30,000 liter diesel sehari tetapi sekarang 13,000 liter setiap tiga hari. Sebarang dakwaan ada penyeludupan minyak adalah satu pembohongan kerana jika ada cukup minyak di pasaran, buat apa orang beli di pasaran gelap.

‘Kenapa salahkan rakyat? Alasannya mudah. Kita tidak mempunyai cukup mata wang asing bagi membeli minyak,’ kata seorang pengurus kedai minyak di Fayoum, yang tidak mahu dikenali. — AP, Reuters, AFP.