Pertambahan Kerusi Pilihan Raya Lebih Penting Daripada Pengubahan Sistem

1199

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Pertambahan Kerusi Pilihan Raya (PRK) lebih penting daripada pengubahan sistem perwakilan berkadar (PR).

Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, sistem yang digunakan sekarang adalah First Past The Post (FPTP), bermakna calon-calon memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya berkenaan.

“Secara umumnya apa yang dilaksanakan oleh sesetengah negara dari segi sistem pilihan raya dasar kan pada (PR) jadi itu perlu diadakan kajian lebih lanjut dari segi kesesuaian.

“Sebab setakat ini kita memakai sistem British (PFTP) jadi apa yang sesuai di tempat lain tak semestinya sesuai di tempat kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Wisma Darul Iman, pada semalam.

Menurutnya, ia memerlukan satu kajian lebih lanjut tapi yang penting ialah mahukan bilangan kerusi munasabah.

“Terutamanya merasakan kepentingan orang Melayu lebih-lebih lagi di negeri Terengganu. Sejak daripada tahun 1985 dulu tidak berlaku penambahan kerusi walaupun penduduk dan dan pengundi bertambah.

“Jadi soal sistem yang kita nak pakai itu memerlukan satu kajian dan pihak jawatankuasa reformasi pilihanraya yang ditubuhkan parlimen pun belum lagi membentangkan.

“Itu kita baru dengar jauh-jauh mereka dan mesti kemukakan dengan maklumat yang lebih lengkap. Kalau kita nak komen pun dengan maklumat yang lebih benar,” ujar beliau.

Sementara itu, mengulas perkembangan semasa politik negara, PAS tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Kimanis yang sedang berlangsung sekarang.

“PAS tidak bertanding tapi yang bertanding adalah Umno ataupun Barisan Nasional (BN) yang mana kita tahu pertandingan ialah dua penjuru.

“Jadi kehadiran petugas-petugas PAS adalah membantu jentera pilihan raya BN dalam kapasiti yang mereka mahukanlah,” tambahnya.