Perpaduan Melayu Islam Kewajipan Syarie, Tidak Boleh Berpecah

199
Ustaz Zakaria Dagang

KUALA TERENGGANU — Perpaduan orang Melayu Islam merupakan satu kewajipan syarie yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan, khususnya ketika umat berdepan perpecahan akibat perbezaan haluan dan kepentingan sempit.

Ketua Urusan As-Sabiqun PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang berkata, keadaan semasa menyaksikan orang Melayu Islam berpecah kepada beberapa puak jelas bercanggah dengan perintah Allah SWT yang menyeru umat Islam agar berpegang teguh kepada tali Allah dan tidak berpecah-belah.

“Titik pertemuan kita adalah kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Inilah penyelesaian yang sebenar yang semua orang Melayu Islam mesti berpegang kepadanya.

“Jika masing-masing terus berkeras dengan pegangan sendiri, perpecahan akan berterusan. Jalan keluar yang Allah tetapkan ialah kembali kepada al-Quran dan Sunnah,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas usaha penyatuan ummah, beliau berpandangan bahawa pendekatan Muafakat Nasional yang pernah digagaskan sebelum ini boleh menjadi antara mekanisme penting.

“Jika semua pihak bersedia untuk berpegang kepada satu dasar yang ditetapkan berasaskan Islam yang menjadi anutan kita, saya percaya hasrat untuk menyatukan orang Melayu Islam ini akan terlaksana, insya-Allah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ustaz Zakaria turut menyentuh sikap sebahagian pimpinan UMNO Terengganu yang dilihat enggan bersama dalam usaha penyatuan, sambil menegaskan bahawa mereka seharusnya lebih realistik dan bersedia untuk berganding bahu.

“Sepatutnya mereka kena ‘sedar diri’ dalam keadaan sokongan mereka di negeri ini tinggal 0 di Dewan Undangan Negeri, mereka kena akur dan bersedia untuk bersama,” tegasnya.