SETIU – Seluruh pemimpin, perwakilan dan ahli PAS di semua peringkat diseru memperkukuhkan gerak kerja dan merealisasikan setiap keputusan parti dalam bentuk tindakan demi memperkasakan perjuangan Islam dan khidmat kepada masyarakat.
Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Zul Bhari Ab Rahman berkata, Mesyuarat Agung PAS Kawasan bukan sekadar menjadi medan bermesyuarat, malah platform untuk memperbaharui iltizam, memperkukuhkan kebersamaan dan menyusun gerak kerja parti.
Menurut beliau, setiap pimpinan yang dipilih memikul amanah besar untuk mengimarahkan parti bermula di peringkat cawangan, kampung, Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga ke seluruh kawasan Setiu.


“Kitalah orang yang dipilih untuk memartabatkan PAS, memasyarakatkan parti supaya terus dikenali, disayangi, dihormati dan menjadi wadah menjulang agama Allah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu kali ke 48 di Dewan Serbaguna MDS Sungai Tarom, semalam.
Ustaz Zul Bhari turut mengingatkan bahawa kejayaan dan kekuatan yang dicapai di Setiu perlu dipertahankan melalui komitmen berterusan seluruh jentera parti.


Tambah beliau, Setiu yang tersenarai antara daerah paling bahagia di Malaysia merupakan hasil usaha dan kerjasama semua peringkat kepimpinan serta perlu terus dipelihara.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua perwakilan menjadikan mesyuarat agung sebagai titik tolak untuk memperkukuhkan organisasi, memperluaskan peranan parti dalam masyarakat serta meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Justeru itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan dan perwakilan yang hadir serta berharap segala usaha yang dilakukan diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT.






























