KUALA TERENGGANU – Pelantikan YAB Dato Sri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai antara perkembangan paling signifikan dalam landskap politik negara ketika ini.
Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Zul Bhari A Rahman berkata, keputusan tersebut hadir tepat pada masanya tatkala rakyat berdepan keletihan politik dan krisis keyakinan terhadap hala tuju pentadbiran negara.
“Alhamdulillah, setelah tempoh yang agak panjang, PN kini mempunyai Pengerusi. Ini satu langkah berani dan tepat pada masanya.
“Negara memerlukan figura yang berwibawa, stabil dan berpendekatan sederhana serta ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelantikan itu memberi dimensi baharu dalam percaturan politik semasa, khususnya dalam memperkukuh strategi pembangkang dan membina naratif alternatif yang lebih meyakinkan rakyat.
Katanya lagi, dalam suasana politik hari ini, pertembungan bukan lagi sekadar antara parti, sebaliknya melibatkan ketokohan individu yang mampu menampilkan kestabilan, transformasi dan keyakinan merentasi kaum, agama serta budaya.
“Dr Sam dilihat mempunyai keupayaan untuk memimpin dengan pendekatan inklusif serta menawarkan nilai tambah kepada kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.
Beliau turut mengajak seluruh ahli dan penyokong untuk mendoakan agar kepimpinan baharu ini diberikan kekuatan dan nusrah daripada Allah SWT dalam memikul amanah besar demi kesejahteraan Malaysia.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail, menegaskan bahawa pelantikan Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merupakan langkah strategik yang tepat bagi memperkukuhkan gabungan politik itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, pengalaman Dr Sam menerajui Kerajaan Negeri Terengganu dengan rekod bersih dan pentadbiran telus, yang diiktiraf oleh rakyat melalui penilaian jujur netizen, menjadi aset penting bagi PN dalam menghadapi cabaran politik yang semakin kompleks.
“Latar belakang pendidikan dan pengalaman strategik beliau dalam menyusun gerak kerja parti amat bermakna untuk PN mendepani PRU16 yang dijangka boleh diadakan bila-bila masa,” katanya.
Justeru itu, beliau juga berharap perlantikan Dr Sam dapat membantu merungkai dan menjernihkan kekeruhan yang wujud dalam kalangan parti komponen PN.
“Sekali gus memperkukuh muafakat dalaman gabungan tersebut,” tambah beliau lagi.



























