Perjanjian Malaysia-AS : Anwar Gadai, Cabul Hak REE Terengganu

33
Ustaz Mohd Harun Esa

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menandatangani perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, yang memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengenakan sebarang sekatan atau kuota eksport terhadap sumber Unsur Nadir Bumi (REE).

2. Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa hak negeri-negeri pengeluar, termasuk Terengganu yang memiliki deposit terbesar telah diketepikan dan dicabuli tanpa sebarang rundingan mahupun makluman rasmi.

3. Sedangkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini mengakui secara terbuka di Parlimen bahawa REE berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, selaras dengan Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (Tanah dan Mineral).

4. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut menyatakan bahawa sebarang dasar dan pengagihan hasil REE akan diputuskan secara inklusif melalui Majlis Mineral Negara (MMN) sebagai platform rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri pengeluar.

5. Lebih daripada itu, Kerajaan Persekutuan pada 19 Ogos 2025 menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah menawarkan pengeksportan mentah REE sebagai timbal balas dalam rundingan tarif perdagangan dan tidak pernah memberi komitmen membekalkan REE secara eksklusif kepada mana-mana negara, termasuk Amerika Syarikat.

6. Namun, kandungan perjanjian yang kini dimeterai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Donald Trump bercanggah sepenuhnya dengan kenyataan Menteri sendiri. Malaysia telah memberi komitmen untuk tidak mengenakan sekatan eksport kepada syarikat-syarikat Amerika, sedangkan perkara ini tidak pernah dirunding bersama kerajaan negeri Terengganu.

7. PAS Terengganu menegaskan bahawa tindakan ini merupakan pelanggaran nyata terhadap semangat federalisme dan prinsip keadilan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

8. Hakikat bahawa Kerajaan Persekutuan berani menandatangani perjanjian yang menyentuh sumber negeri tanpa sebarang libat urus membuktikan betapa hak Terengganu telah dicabuli secara terang-terangan.

8. PAS Terengganu melihat langkah ini sebagai sambungan kepada pola lama penafian hak negeri, sepertimana yang pernah berlaku dalam isu royalti petroleum. Dahulu hasil minyak Terengganu dinafikan, kini hasil nadir bumi pula digadai tanpa suara negeri.

9. Kami menuntut penjelasan segera daripada Perdana Menteri, adakah Majlis Mineral Negara bersidang sebelum perjanjian ini ditandatangani? Adakah kerajaan negeri Terengganu dimaklum atau diberi ruang untuk menyatakan pendirian?

10. Jika tidak, maka tindakan ini bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap semangat Persekutuan, malah satu bentuk pencabulan terhadap kedaulatan negeri dan hak rakyat Terengganu.

11. PAS Terengganu menegaskan bahawa REE bukan milik Putrajaya, tetapi milik rakyat dan kerajaan negeri Terengganu yang sah di sisi Perlembagaan.

12. Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berhak membuat sebarang komitmen antarabangsa yang melibatkan hasil bumi negeri tanpa persetujuan rasmi daripada kerajaan negeri.

USTAZ MOHD HARUN ESA,
KETUA PENERANGAN PAS TERENGGANU

29 Oktober 2025/7 Jamadilawal 1447H