Perbalahan Yang Memecahkan Orang Masjid

1597

Berhentilah daripada berbalah sesama muslim tentang siapa lebih dekat dengan al-Quran dan sunnah nabi. Kita menerima perbezaan pendekatan salaf dan khalaf dalam memahami Aqidah bukan dengan mengkafirkan satu sama lain.

Kita menerima kedua-duanya sebagai Ahli sunnah wal jamaah. Pemikiran “takfir” sebegini perlu dihentikan kerana ia punca perpecahan. Ia juga adalah punca keganasan.

masjid boengkok1Kita juga menerima kepelbagaian mazhab fiqh kerana perbezaan kefahaman dalam menghuraikan teks al Quran dan Hadis. Ia adalah keluasan Islam. Tapi ada pula yang ingin menyempitkan sesuatu yang luas dalam Islam.

Malangnya ia bukan perpecahan di antara yang beramal dengan Islam dengan yang tidak beramal tetapi perpecahan di kalangan sesama ahli surau dan masjid yang ingin beramal dengan Islam.

Sehingga perkara kecil seperti sambutan Maulid Nabi, amalan Nisfu Sya’ban, tahlil dan talqin menjadi punca untuk berperang dan berparang lalu memaki hamun dan nista khususnya di media sosial hari ini.

Malangnya ia diapi-apikan oleh sebahagian ilmuwan islam termasuk yang bergelar mufti, pakar hadis, pakar fiqh dan tokoh ulamak. Selagi sikap sombong dan merasakan hanya pandangan dan ijtihad kita sahaja yang betul dan tidak boleh menerima perbezaan tafsiran dan kefahaman terhadap teks al Quran dan Hadis, selagi itulah umat terus berpecah.

Idea perpaduan amat sukar dicapai lalu ia memberi peluang untuk musuh mengambil kesempatan. Ditambah lagi oleh perpecahan dalam pegangan politik. Maka di mana lagi kekuatan Islam?

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri