Peranan Kaum Menegakkan Islam

212

Diadakan pertemuan dan perbincangan bersama mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang negarawan yang telah berpolitik dalam tempoh masa yang sangat panjang dan banyak pengalamannya sejak zaman penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan. Malah, beliau juga pernah dua kali menjadi Perdana Menteri.

Walaupun beliau banyak berkhilaf dengan PAS, namun banyak titik persamaan yang wajib diambil kira dan bersatu menunaikan kewajipan agama, bangsa dan negara bersama Islam. Antara perbincangannya ialah wajibnya perpaduan kaum Melayu Islam yang menjadi majoriti penduduk asal Malaysia dan majoriti masyarakat majmuk.

Maka, perlu dijelaskan perbezaan antara semangat kebangsaan yang dijadikan ideologi dengan konsep kebangsaan yang menjadi fitrah manusia mengikut ketetapan Allah SWT dan peranannya dalam melaksanakan kehidupan bermasyarakat.

Islam ialah agama yang sempurna dan menyeluruh bersifat sejagat kepada seluruh alam serta seluruh manusia. Adapun al-Quran ialah petunjuk Allah SWT dan para rasul menunjukkan teladan bagi melaksanakannya.

Kewujudan berbagai-bagai bangsa atau kaum adalah fitrah manusia ciptaan Allah bagi menjalankan kewajipan di atas muka bumi di alam dunia yang akan dihisab pada Hari Kiamat kelak. Perkara ini dinyatakan oleh firman-Nya:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam AS) dan seorang perempuan (Hawwa’ AS); dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (bermasyarakat). Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Allah SWT menetapkan peranan kaum adalah suatu perkara yang sangat penting kerana ia menjadi tonggak perjuangan para rasul AS, sama ada secara individu atau berjemaah walaupun secara prinsip dan dasarnya Islam ialah agama kepada semua manusia. Khususnya, peranan menegakkan kuasa politik yang menjadi penaung yang wajib kepada dakwah Islam dan menjadi syarat agar Islam dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Setiap rasul memulakan dakwah masing-masing kepada keluarga dan kaumnya, termasuk nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad SAW yang diutuskan kepada seluruh manusia. Perkara ini bukanlah sikap rasis atau fanatik kaum yang telah disalah fahami selama ini, sebaliknya menjadi rukun kepada uslub (pendekatan) dalam menegakkan Islam mengikut prinsip dakwah dan siasah syar‘iyyah yang melaksanakan konsep adil kepada seluruh manusia. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٤﴾

“Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan suatu penjelasan secara jelas dan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberikan petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)

Al-Quran menceritakan setiap orang rasul berdakwah kepada kaumnya terlebih dahulu dengan menyebutkan dalam ucapan mereka sebagaimana yang banyak kali disebutkan oleh firman Allah SWT, antaranya:

﴿…يَٰقَوۡمِ…٥٤﴾

“…Wahai kaumku…” (Surah al-Baqarah: 54)

Allah SWT berfirman kepada Rasulullah SAW:

﴿وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ٢١٤﴾

“Dan berikanlah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Shu‘ara’: 214)

Selain itu, Rasulullah SAW juga berdoa sepertimana doa para rasul yang terdahulu:

اللَّهُمَّ ‌اهْدِ ‌قَوْمِي ‌فَإِنَّهُمْ ‌لَا ‌يَعْلَمُونَ.

“Wahai Allah, ya Tuhanku! Berikanlah hidayah kepada kaumku, sebenarnya mereka tidak mengerti.” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Jld. 6, Hlm. 507)

Allah SWT menyebutkan suatu contoh melalui kisah Nabi Syu‘aib AS, sebagaimana firman-Nya:

﴿قَالُواْ يَٰشُعَيۡبُ مَا نَفۡقَهُ كَثِيرٗا مِّمَّا تَقُولُ وَإِنَّا لَنَرَىٰكَ فِينَا ضَعِيفٗاۖ وَلَوۡلَا رَهۡطُكَ لَرَجَمۡنَٰكَۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيۡنَا بِعَزِيزٖ٩١ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَرَهۡطِيٓ أَعَزُّ عَلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَٱتَّخَذۡتُمُوهُ وَرَآءَكُمۡ ظِهۡرِيًّاۖ إِنَّ رَبِّي بِمَا تَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ٩٢﴾

“Mereka berkata, ‘Wahai Syu‘aib! Kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah antara kami; kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami telah merejam kamu, sedang kamu pun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami.’ (91) Syu‘aib menjawab, ‘Wahai kaumku! Apakah keluargaku lebih kamu takuti menurut pandangan kamu daripada takut akan Allah, sedang (perintah) Allah pula kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakang kamu? Sesungguhnya, (pengetahuan) Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan.’ (92)” (Surah Hud: 91-92)

Tambahan lagi, juga diambil iktibar daripada kisah Nabi Lut AS yang telah dilantik menjadi rasul kepada kaum dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan ahli keluarga bersamanya, apabila Baginda AS dikepung oleh kaum yang menentangnya. Allah SWT berfirman:

﴿قَالَ لَوۡ أَنَّ لِي بِكُمۡ قُوَّةً أَوۡ ءَاوِيٓ إِلَىٰ رُكۡنٖ شَدِيدٖ٨٠﴾

“Lut berkata, ‘Seandainya, aku mempunyai kekuatan (untuk menolak kamu) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (tentu aku akan lakukan).’” (Surah Hud: 80)

Sabda Rasulullah SAW yang mentafsirkan ayat di atas:

‌رَحْمَةُ ‌اللَّهِ ‌عَلَى ‌لُوطٍ، ‌لَقَدْ ‌كَانَ ‌يَأْوِي ‌إِلَى ‌رُكْنٍ ‌شَدِيدٍ -يَعْنِي: اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ- فَمَا بَعَثَ اللَّهُ بَعْدَهُ مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا فِي ثَرْوَةٍ مِنْ قَوْمِهِ.

“Rahmat Allah kepada Lut, sebenarnya Baginda dilindungi kepada kekuatan, yakni Allah ‘Azza wa Jalla. Maka, Allah tidak lagi melantik nabi selepasnya melainkan berada di tengah-tengah kaumnya yang menjadi tonggak (penting bagi melindunginya).” (Riwayat al-Tirmizi, No. 3116 / Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Jld. 4, Hlm. 291)

Rasulullah SAW mula berdakwah kepada keluarganya di Makkah daripada kalangan kaumnya berbangsa Arab. Sehinggakan, Baginda berhijrah ke Madinah bagi melaksanakan perpaduan juga dalam kalangan bangsa Arab antara suku Aus dan Khazraj, sebelum disertai oleh kalangan bukan Arab yang menganut Islam dan golongan bukan Islam dalam masyarakat majmuk.

Oleh itu, Abu Bakar RA menyelesaikan masalah kekhilafan pelantikan Khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW dengan berhujahkan hadis Rasulullah SAW yang bersabda:

الْأَئِمَّةُ ‌مِنْ ‌قُرَيْشٍ.

“Pemimpin itu mestilah daripada kalangan Quraisy.” (Riwayat Ahmad, No. 12900 dan lain-lain riwayat)

Quraisy ialah kabilah Arab yang terkuat pada masa itu, dan pelantikan ketua negara generasi awal Islam dalam kalangan kabilah Arab yang terkuat. Inilah pandangan mazhab Ahli Sunnah. Adapun pendapat tanpa dominasi kaum merupakan pandangan Mazhab Khawarij dan kalangan Muktazilah yang lemah. Sila rujuk kitab-kitab seperti al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh Imam al-Mawardi RH, kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun RH, kitab-kitab tafsir dan syarah hadis yang pelbagai.

Langkah bermula dengan melaksanakan perpaduan kaum Arab yang disatukan oleh Rasulullah SAW bersama Islam. Sebelumnya mereka hidup dalam keadaan berpecah belah dan berperang, apabila puak Aus dan Khazraj di Madinah sentiasa berkelahi akibat diadudombakan oleh orang- orang Yahudi. Lantas Allah SWT mewahyukan firman-Nya yang diucapkan oleh Rasulullah SAW:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) saling bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat-Nya, agar kamu mendapat petunjuk.” (Surah Ali ‘Imran: 103)

Seterusnya Baginda SAW berucap:

أَبِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ وَأَنَا بَيْنَ أَظْهُرِكُمْ؟

“Adakah kamu mahu berperang kembali ke zaman jahiliah pula dalam keadaan aku masih hidup bersama kamu?” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Jld. 2, Hlm. 78)

Rasulullah SAW berkhutbah dalam wasiatnya ketika menunaikan Haji Wada‘ (haji selamat tinggal), ‘Janganlah sekali-kali kamu berpecah dan berperang pula selepas aku meninggal dunia.’

Allah SWT memberikan amaran kepada bangsa Arab setelah hilangnya peranan mereka terhadap Islam dengan firman-Nya:

﴿…وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾

“…Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” (Surah Muhammad: 38)

Allah SWT menukar kaum lain bukan berbangsa Arab menganut Islam yang juga kuat pengaruhnya atau mendominasi penduduknya menjadi pemimpin negara. Sehingga pernah digantikan dengan kaum Kurdi, Turki dan lain-lain.

Apabila dihilangkan kuasa Islam oleh golongan bukan Islam pula, menyebabkan berlaku keadaan yang menyeksa penganut Islam yang telah mengkhianati amanah Islam. Firman Allah SWT:

﴿إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْـًٔا ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾

“Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan sedikit pun kepada-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Tawbah: 39)

Berlaku dalam sejarahnya, apabila umat Islam dijajah oleh bukan Islam. Maka, keadaan itu telah menyeksa umat Islam di dunia sebelum akhirat.

Pemerintahan Islam dirampas kuasanya oleh bukan Islam seperti yang berlaku di Andalus (Sepanyol) yang lenyap kerajaannya disebabkan perpecahan dalam kalangan raja-raja wilayah, sehingga menyebabkan berlakunya perang saudara dan akhirnya ditakluki oleh bukan Islam. Seterusnya, umat Islam diseksa dan dipaksa murtad, sama ada dibunuh atau meninggalkan tanah air dalam keadaan hina sehingga sekarang dalam masa beberapa abad lamanya. Perkara yang sama juga berlaku di Filipina, Champa (Kemboja) dan negeri terdekat di Singapura.

Berlaku di Palestin dalam kawasan negeri Arab yang dirampas oleh Yahudi Zionis yang datang beramai-ramai dan membeli tanah yang mahal setelah diletakkan harganya dengan harta kekayaannya. Hal ini berlaku akibat bangsa Arab berpecah belah kerana mereka telah meninggalkan kuasa politik bersama Islam dalam menegakkan negaranya.

Justeru, dalam konteks Malaysia kita perlu menyedari bahawa kaum Melayu yang beragama Islam dengan jumlahnya yang besar dan tidak fanatik perkauman tidak berperanan memimpin bersama Islam, kerana berpecah belah disebabkan buta agama dan jahil politik. Manakala golongan bukan Islam pula yang masih tidak menerima Islam bersatu, dan kini mereka berusaha untuk mendapat kuasa politik perkauman tanpa Islam dalam keadaan mereka bersatu menegakkan bangsanya tanpa mengira fahaman politik.

Mereka memilih calon daripada kalangan bangsanya tanpa mengira fahaman politik. DAP yang menutup wajah perkaumannya berjaya mendapat sokongan besar majoriti kaum Cina sedang mendominasi Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan yang dinamakan perpaduan bersama Melayu yang telah meninggalkan fitrah kaum dengan alasan menolak rasis. Adapun kalangan bukan Islam tetap menjaga fitrah kaumnya, walaupun cuba dinafikannya dengan berhelah dan menipu.

Kaum Melayu Islam berpecah belah kerana masalah furu‘ (cabang), atau perbezaan fahaman politik atau tidak mengundi kerana benci akan politik atau menganggap bahawa politik itu tidak penting.

Sedangkan golongan bukan Islam pula tetap bersatu demi bangsa masing-masing tanpa mengira fahaman politik yang sedang berlaku sekarang. Maka, parti kaumnya menang tanpa Islam, sehingga dapat mengalahkan Melayu yang berpecah kaumnya dan menyokong siapa sahaja.

Oleh sebab itu, kuasa politik Melayu boleh hilang kerana perpecahannya sehingga jatuh ke tangan bukan Melayu dan bukan Islam dalam pilihan raya sahaja. Maka, bangsa Melayu menjadi seksa yang hina dalam hidup dunia dan mereka sangat berdosa apabila menghilangkan politik Islam.

Kita pernah mengalami penyeksaan sewaktu zaman penjajahan dalam keadaan raja-raja berpecah belah dan berperang saudara. Walaupun selepas itu raja dikekalkan oleh penjajah, tetapi tanpa kuasa politik dinobatkan maka mereka hanya menjadi ketua agama yang dipisahkan politiknya, keadaan agama tidak mempunyai pelindung kepada pelaksanaan Islam.

Raja ketika itu laksana tunggul yang mati apabila hilangnya kuasa politik kaumnya yang beragama Islam dan dijadikan perisai manusia oleh kalangan penjajah bagi menghapuskan pejuang-pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah.

Imam al-Ghazali RH pernah menegaskan dalam kitab karangannya:

‌الدِّينُ ‌أُسٌّ ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama itu asas, sedangkan sultan (politik Islam berkuasa) itu menjadi pengawasnya. Apa yang tiada asasnya, maka akan runtuh binasa; dan apa yang tiada pengawasnya, maka akan hilang.” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, Hlm. 128)

Berlaku amaran hilangnya hukum Islam sebagaimana amaran Rasulullah SAW melalui sabdanya:

‌لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Demi sesungguhnya akan berlaku, diungkai (dirombak) ikatan ajaran Islam (yang teguh) satu demi satu. Maka, apabila setiap satu ikatannya diungkai, ia menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya. Simpulan pertama yang diungkai ialah (pelaksanaan) hukumnya dan simpulan terakhir yang diungkai ialah (pelaksanaan) solat.” (Riwayat Ahmad, No. 22160, Ibn Hibban, No. 6715 dan lain-lain riwayat)

Maka, perpaduan bangsa Melayu yang menjadi tonggak Islam dalam negara ini wajib dilaksanakan bagi mengukuhkan kekuatan Islam yang sangat penting. Allah SWT memberikan amaran kepada generasi awal dalam al-Quran yang menjadi mukjizat ilmu yang berkekalan sepanjang zaman. Firman-Nya:

﴿وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ٤٦﴾

“Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu saling berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu serta bersabarlah. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal: 46)

Walaupun sebabnya yang awal ditujukan kepada bangsa Arab dalam kalangan generasi awal umat Islam, tetapi petunjuk mukjizat itu kekal ditujukan kepada umat Islam dan semua kaum yang diamanahkan mempertahankan Islam sepanjang zaman.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kita menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan majoriti Melayu yang masih tidak mencukupi, maka PH yang menjadi gabungan terbesar dengan dominasi DAP berjaya mendapat sokongan Melayu yang berpecah belah. Keadaan ini berlaku apabila ada kelompok yang tidak keluar mengundi kerana jahil agama dalam kewajipan politiknya, dan juga kumpulan Melayu yang berpegang kepada matlamat menghalalkan cara kerana mengejar pangkat dan harta semata-mata.

UMNO pula dalam keadaan yang sangat lemah kerana diresapi penyakit kebendaan yang menjadi perjuangannya, berlaku politik wang, penyakit rasuah. Adapun sebahagian daripada mereka yang setia kepada perjuangan bagi menegakkan agama bangsa dan negara pula tidak mampu melakukan apa-apa perubahan sehingga menyebabkan mereka berpecah pula. Sebahagiannya sedia bersama DAP yang ekstrem terhadap Islam, Melayu dan tanpa peduli terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun DAP menyatakan partinya berbagai-bagai kaum, namun perkara itu tidak boleh menghapus tabii mereka yang cintakan kaum masing-masing. Sehinggakan, mereka menunjukkan sikap melampau menentang syariat Islam yang menjadi hak penganut Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, menggalakkan penggunaan Bahasa Cina di tempat yang wajib menggunakan Bahasa Kebangsaan mengikut lunas perlembagaan, mencabar hak istimewa kaum bumiputera dalam perlembagaan dan lain-lain.

Seterusnya, mendedahkan strategi politik terbuka mereka yang mahu menguasai negara dengan memancing Melayu menjadi alat sementara waktu sebagai Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet, Menteri Besar dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Datuk Bandar dan lain-lain bagi memancing kuasa untuk sementara waktu. Kini, sudah ramai orang Melayu yang memakan pancing tersebut.

Allah SWT telah memberikan petunjuk dengan firman-Nya:

﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ٩﴾

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan kawanmu kalangan orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Oleh itu, menjadi suatu kesilapan besar kepada kaum Cina bukan Islam yang memilih parti yang ekstrem seperti DAP yang tidak peduli demi kebaikan mereka sendiri dalam masyarakat majmuk.

Kesilapan dan berdosa besar bagi orang Melayu Islam yang berpecah belah dengan niat yang salah, apabila dengan sebabnya telah melemahkan kuasa politik kaum Melayu Islam yang wajib memimpin negara.

PAS menyeru para pemimpin Melayu Islam untuk menyatukan kaumnya bukan kerana rasis, tetapi meletakkan kuasa politik ke landasan yang betul dalam keadaan kaum Melayu tidak fanatik perkauman. Kalau dibiarkan, Melayu akan bertindak salah juga dengan semangat fanatik perkauman yang berlaku secara automatik tanpa dikawal.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 15 Syawwal 1444 / 4 Mei 2023