Penyatuan Alam Melayu Jadi Fokus Utama Ijtimak Perpaduan Ummah 2026

90

KUALA TERENGGANU – Usaha memperkukuh penyatuan umat Islam di rantau Alam Melayu menjadi fokus utama dalam penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung pada 2 hingga 4 April lalu.

Penolong Setiausaha Assabiqun Terengganu, Ustaz Zakaria Dagang berkata, ijtimak kali ini tampil dengan pendekatan berbeza apabila memberi penekanan khusus kepada peranan Alam Melayu sebagai teras kekuatan ummah di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Penglibatan negara-negara Asia Tenggara serta Sri Lanka dalam program tersebut membuktikan kepentingan kerjasama serantau dalam membina kesatuan umat Islam yang lebih kukuh.

“Ijtimak ini merupakan kesinambungan program antarabangsa yang telah dianjurkan di Terengganu sejak tahun 1988, namun kali ini ia lebih memfokuskan kepada pembinaan kesatuan dalam kalangan umat Islam Alam Melayu,” jelasnya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (DMPNT), pada 7 April.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengisian program yang padat sepanjang tiga hari tiga malam memberi impak mendalam kepada para peserta melalui pelbagai aktiviti ilmiah dan penghayatan sejarah.

Antara pengisian utama termasuk pidato tokoh-tokoh antarabangsa dan Alam Melayu serta pameran berkaitan Alam Melayu dan ketamadunan Islam yang berjaya menarik perhatian pengunjung.

Tambahnya, hasil daripada ijtimak tersebut diharapkan mampu menyemarakkan semangat baharu dalam kalangan umat Melayu Islam untuk bangkit sebagai bangsa yang bermaruah dan berperanan dalam mendaulatkan Islam di peringkat global.

“Ia diharap menjadi pemangkin kepada pembinaan ummah yang lebih bersatu, kuat dan dihormati di dunia,” ujarnya.